Takiyuddin Terkejut Dipecat Dari Jawatan AJK PAS Kawasan Kota Bharu

KUALA LUMPUR – Setia­usaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan meluahkan rasa terkejut dan hairan terhadap tindakan Pas Kawasan Kota Bharu yang memecat beliau selaku Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas kawasan berkenaan.

 

Menurut Takiyuddin, beliau telah dimaklumkan mengenai pemecatan itu namun belum menerima sebarang surat rasmi daripada Pas Kawasan Kota Bharu yang diketuai Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang juga Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Kelantan.

 

“Benda (pemecatan) itu sahih tetapi saya masih belum dapat apa-apa surat lagi, saya cuma dimaklumkan sahaja. Saya sendiri tidak faham mengapa saya dipecat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan Pas Kawasan Kota Bharu pada 15 Julai lalu membuat keputusan memecat Takiyuddin dalam satu mesyuarat yang tidak dihadiri oleh Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

 

Mesyuarat berke­na­an turut memutuskan untuk memecat Pengarah Pilihan Raya Pas kawasan itu, Hamid Seman.

 

Jelas Takiyuddin, daripada segi perlembagaan parti, Pas kawasan itu mempunyai kuasa membuat keputusan itu namun memerlukan persetujuan undian daripada separuh ahli jawatankuasa Pas kawasan.

 

Menjelaskan lebih lanjut, Takiyuddin berkata, beliau menerima pelantikan jawatan sebagai AJK Pas kawasan itu selepas memberi laluan kepada Dr. Rosni Allani Abdul Kadir untuk memenangi jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan tanpa bertanding.

 

“Sebelum ini, saya merupakan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Bharu. Bagi mengelak pertandingan, saya menarik diri. Bila selesai pertandingan, saya dilantik sebagai AJK Pas kawasan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pas kawasan,” katanya.

 

Katanya, meskipun dengan hanya menjadi AJK Pas kawasan, beliau terlibat aktif dalam menyertai pelbagai program dan menghadiri beberapa mesyuarat kawasan.

 

“Walaupun saya dahulu adalah Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan, saya tidak kisah dilantik sebagai AJK sahaja, bagi saya berkhidmat tidak memerlukan jawatan. Bagaimanapun, apa yang berlaku ini, bagai tidak logik dan sukar diterima,” katanya.

 

Ketika ditanya sama ada tindakan yang dikenakan terhadapnya merupakan tanda-tanda GHB semakin agresif di Kelantan, Takiyuddin berkata, persoalan itu perlu dikemukakan terhadap Wan Abdul Rahim kerana masih belum ada penjelasan terhadap pemeca­tan dirinya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.