Salah Siapa Bola Sepak Negara Merudum?

Ketika peminat Kelab Bola Sepak Liverpool (LFC) berpesta menyaksikan kelab kesayangan mereka melayan aksi skuad Pilihan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin tidak kurang juga ramai yang mempertikaikan kepentingan perlawanan persahabatan seperti itu.

 

Skuad kendalian Dollah Salleh yang dibantu lima pemain import mengekang anak buat Brendan Rodgers apabila seri 1-1, sekali gus menghalang kemenangan keempat berturut-turut pelawat yang mengharungi siri jelajah Asia 2015 sebelum bermulanya Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 8 Ogos ini.

 

Itu cerita di Stadium Bukit Jalil. Apa ceritanya dengan skuad kebangsaan yang sejak kebelakangan ini semakin malap? Ketika peminat disajikan dengan aksi mantap selepas menjuarai Piala Suzuki AFF pada tahun 2010, ramai percaya mungkin itulah detik kebangkitan skuad Harimau Malaya.

 

Mengimbau detik kebangkitan

 

Skuad kendalian Datuk K Rajagobal mencetuskan fenomena baharu apabila menumbangkan Indonesia di final diikuti skuad muda Ong Kim Swee yang mempertahankan ibu segala pingat Sukan SEA 2011, juga di Indonesia, menentang tuan rumah untuk mempertahankan gelaran yang diraih pada tahun 2009.

 

Tahun lalu, skuad negara bimbingan Dollah cuma selangkah saja untuk memenangi Piala Suzuki AFF tetapi terpaksa akur dengan kehebatan Thailand pada final yang menggamit lebih 80,000 peminat tempatan membanjiri stadium.

 

Kini, peminat sekali lagi dikecewakan dengan aksi longlai skuad kebangsaan yang seolah-olah langsung tiada peningkatan dalam prestasi dan aksi. Bukti paling jelas, lihat keputusan perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018.

 

Lihatlah bagaimana Malaysia cuma mampu seri 1-1 dengan Timor Leste dan dimalukan Palestin dengan jaringan 6-0. Itu belum lagi diambil kira dua lagi perlawanan menentang pasukan yang lebih kuat dalam Kumpulan A, iaitu Arab Saudi (8 September) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) (17 November).

 

Semua itu menjurus kepada ranking dunia yang menyaksikan kedudukan Malaysia semakin merudum. Kedudukan ranking pasukan tidak banyak berubah sejak Januari lalu bahkan semakin teruk bermula di ranking 154 pada Januari dan Februari diikuti ke-153 (Mac); 164 (April); 166 (Mei); 162 (Jun) dan 168 (Julai).

 

Kedudukan ke-168 itu bukanlah sesuatu yang dibanggakan. Ranking terbaharu yang diumumkan pada 9 Julai lalu itu akan berubah apabila dikemas kini pada 25 September ini. Secara puratanya, ranking skuad negara berada di tangga ke-127 dunia sejak sistem ranking FIFA diperkenalkan.

 

Sebab itulah, penulis agak bersetuju memang tidak boleh mengetepikan terus aksi komersial, tetapi kenapa tidak memperbanyakkan perlawanan bertaraf kelas A yang boleh menyumbang mata ranking tanpa mengetepikan terus aksi komersial.

 

Bukan saja mata untuk ranking, tetapi juga memberi pengalaman dan pendedahan yang cukup bagus kepada pemain negara.

 

Dibandingkan dengan pasukan Timor Leste yang dulunya sering menjadi skuad belasahan, ranking mereka sebenarnya lebih baik berbanding Harimau Malaya.

 

Di kalangan negara Asia Tenggara, Filipina mendahului senarai dengan kedudukan ke-124 dunia diikuti Thailand (140); Vietnam (143): Singapura (150); Indonesia (164); Timor Leste (165): Malaysia (168); Loas (177) dan Kemboja (181).

 

Entah bila skuad kebangsaan mampu menyaingi skuad handalan Asia yang lain. Lihatlah bagaimana Iran boleh berada di ranking ke-38 diikuti negara lain di bawah ranking 100 dunia seperti Jepun (50); Korea Selatan (52); Australia (59); UAE (69); Uzbekistan (75); China (77); Iraq (86); Jordan (92): Arab Saudi (92) dan Qatar (96.

 

Ada yang sinis mengatakan England yang mempunyai liga yang gah (EPL) itu pun gagal berada di kedudukan tiga terbaik dunia. Ya, itu memang betul, tetapi sekurang-kurangnya mereka di kelompok 10 terbaik dunia di belakang Argentina (1); Jerman (2); Belgium (3); Colombia (4); Belanda (5); Brazil (6); Portugal (7); Romania (8) dan England (9).

 

Sesekali kita juga perlu menyingkap sejarah. Mungkin itu juga bakal menjadi pembakar semangat atau pencetus baharu kebangkitan skuad kebangsaan.

 

Sejak tahun 1993, Malaysia pernah empat kali berada di ranking bawah 100 iaitu pada tahun 1993 (ke-79); 1994 (ke-89); 1996 (ke-96) dan 1997 (ke-87). Lihatlah perbandingan ranking Malaysia sejak 1993 hingga ke hari ini. Pada tahun 2014, Malaysia di ranking ke-154, diikuti ke-154 (2013); 158 (2012); 148 (2011); 144 (2010); 160 (2009); 156 (2008); 159 (2007); 152 (2006); 123 (2005); 120 (2004); 116 (2003); 128 (2002); 111 (2001); 107 (2000); 117 (1999): 113 (1998); 87 (1997); 96 (1996); 106 (1995); 89 (1994) dan 79 (1993).

 

Sejak mula melepasi paras ke-150 dunia bermula di ranking ke-152 pada tahun 2006, Malaysia terus gagal meningkatkan ranking dan cuma dua kali berada di bawah paras itu, iaitu pada kedudukan 144 (2010) dan ke-148 (2011) sebelum merudum semula ke kedudukan 158 pada tahun 2012.

 

Masih pada takuk lama

 

Kenapa dulu kita mampu tetapi sekarang kita semakin lemah? Adakah salah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana masih pada takuk lama dan berterusan gagal mencari formula terbaik untuk skuad negara atau salah kerajaan yang gagal menyediakan kemudahan dan sokongan sepatutnya.

 

Jika terus kekal dengan keadaan seperti itu, tidak hairanlah kenapa tidak banyak negara yang sudi menerima jemputan Malaysia untuk aksi antarabangsa kerana mereka juga mahu menjaga status dan meraih mata.

 

Kata mereka, biarkan enggang sama enggang, pipit sama pipit. Sampai bila kita terus dengan status pipit, sampai bila kita akan dendangkan nama besar bola sepak negara seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Allahyarham Datuk Ghani Minhat, Datuk Soh Chin Aun tanpa usaha berkesan melahirkan bintang baharu? Ini bukan sukan soal tepuk dada tanya selera, tetapi buatlah kerja.

 

Lihatlah bagaimana dulunya Korea Selatan berbangga dapat menyertai Pestabola Merdeka, tetapi kini seolah-olah menjadi pasukan tetap bersama Jepun mewakili Asia dalam aksi pusingan akhir Piala Dunia. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.