PWTC Siap Sedia Terima Delegasi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN

Kuala Lumpur – Menjelang Mesyuarat ke-48 Menteri-Menteri Luar ASEAN (ANM), Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar pada 1 hingga 6 Ogos ini, pelbagai persiapan awal dilakukan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menerima kedatangan delegasi.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Abdullah Hamid Jaafar, persiapan telah dibuat sejak 3 bulan lalu termasuk mengubah suai dewan persidangan dan bilik-bilik mesyuarat, selain menaik taraf kelajuan internet dan kemudahan wifi.

 

“Persiapan yang agak ketara satu daripadanya mengubah suai Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail untuk mesyuarat akan datang. Selain itu, kami turut membeli perkakas dan kutleri baru untuk kegunaan delegasi,” katanya selepas Majlis Ikrar Servis Terbaik Sempena Mesyuarat Ke-48 Menteri-Menteri Luar Asean, Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar di PWTC.

 

Tambahnya, untuk tujuan keselamatan, kira-kira 500 orang anggota keselamatan akan bertugas untuk memastikan sepanjang tempoh persidangan berjalan dengan lancar.

 

Selain itu, Chef Eksekutif PWTC, Chef Suzaini Mohamed Salih bersama pasukan dapur telah diberi tugas menyediakan menu antarabangsa dan menu fusion untuk sarapan pagi, makan tengahari dan minum petang.

 

Kira-kira 600 orang delegasi dijangka menghadiri mesyuarat ke-48 Menteri-Menteri Luar Asean (ANM) Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar di ibu negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.