PMSP Akan Buat Laporan SPRM Terhadap Muhyiddin

Kuala Lumpur – Persatuan Minda Sosial Prihatin (PMSP) akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Memorandum tersebut akan dihantar kepada SPRM di Putrajaya jam 11.30 pagi pada Selasa.

 

PMSP diketuai Ramesh Rao selaku Presiden yang sebelum ini bertanggungjawab mendedahkan video pengakuan Lester Melanyi yang mendakwa Sarawak Report membuat penipuan terhadap dokumen mengenai 1MDB.

 

Dalam memorandum kali ini, PMSP mendesak supaya suruhanjaya bebas itu menyiasat kegagalan projek runding terus 1BestariNet yang bernilai RM663 juta yang diluluskan oleh Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan.

 

1BestariNet, projek seluruh negara yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan YTL yang mana setiap ibu bapa, pelajar dan guru dibekalkan dengan kata laluan (ID) yang memberikan mereka akses kepada pelbagai alatan yang dapat menjadikan proses pembelajaran menjadi lebih menarik dan menyeronokkan.

 

Pada Mac lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati fasa pertama bagi projek 1BestariNet gagal dilaksanakan sejak projek tersebut dimulakan pada 2011.

 

PAC juga berpendapat, pelaksanaan projek yang bernilai RM4.077 bilion ini lemah dan ia tidak seharusnya diteruskan lagi ke fasa seterusnya.

 

Syarikat YTL Communications juga disaman sebanyak RM 2.4 Juta apabila mereka didakwa gagal memenuhi sasaran di bawah kontrak 1BestraiNet.

 

Tindakan itu dibuat selepas pihak Kementerian Pendidikan Malaysia mendapati YTL gagal memenuhi kontrak memasang rangkaian internet jalur lebar 1BestariNet kepada 1003 buah sekolah.

 

Dalam jemputan media itu juga, PMSP menyatakan pihaknya mendesak Muhyiddin supaya menjawab dakwaan pembabitan hubungan perniagaan pembinaan rumah dengan pemilik akhbar The Edge, Datuk Tong Kooi Ong.

 

Desakan terhadap Muhyiddin itu dipercayai susulan kritikan terbukanya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1MDB ketika merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Cheras pada Ahad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.