PKR Lagi Teruk Dari Katak – Ibrahim Ali

Kuala Lumpur – Sikap berdolak-dalik PKR sama ada mahu menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) ataupun kekal bersama PAS jelas menunjukkan parti itu mahu mengambil kesempatan di atas kedua-dua pihak, kata Datuk Ibrahim Ali.

 

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu menyifatkan sikap PKR itu tidak ubah seperti katak yang hidup dalam dua alam, malah lebih teruk lagi.

 

“Mereka lebih teruk daripada katak,” sindir Ibrahim apabila diminta mengulas mengenai kemelut yang dihadapi Pakatan Rakyat (PR) dan perpecahan dalam PAS susulan keputusan pemilihan parti pada muktamar bulan lalu.

 

“PKR ini parti yang cari makan. Tanpa PAS dan DAP, dia tidak boleh hidup. Parti PKR ini dia makan dua-dua bahagian. (Ibarat haiwan dua alam) darat boleh, dalam air boleh.

 

“Kalau ikut islam, parti ini dah jadi haram,” katanya yang selama ini sering digelar ‘katak’ kerana sering melompat parti.

 

“Saya masih berpendapat PKR hanya parti sementara. Bila (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sudah tiada, maka tiada siapa boleh sambung perjuangan parti itu,” kata Ibrahim pada satu sidang media hari ini.

 

Bukan sahaja menyifatkan PKR parti sementara, PKR juga disifatkan Ibrahim sebuah parti yang lemah dan tidak kukuh tanpa gabungan PAS dan DAP.

 

Ini kerana katanya, banyak krisis yang terpalit dalam PKR, terutamanya di negeri Selangor, di mana beliau mendakwa berlakunya “perebutan kuasa” sebagai menteri besar.

 

“Bukan sahaja Pakatan Rakyat (PR) sudah pecah, PKR pun banyak masalah. (Mohamed) Azmin Ali pun bergaduh dengan (Tan Sri) Khalid Ibrahim dahulu,” katanya.

 

Mengulas isu perpecahan PAS pula, Ibrahim menyifatkan kewujudan dua puak di dalamnya, iaitu ulama dan progresif, sesuatu yang amat memalukan.

 

“Pergaduhan mereka cukup memalukan kerana ia memalukan Islam. Macamana hendak memimpin?

 

“Sebab itu daripada dulu saya tidak pernah bersetuju sesebuah parti politik dibenarkan menggunakan Islam,” katanya.

 

Penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) pula dianggapnya hanyalah serpihan PAS yang tidak mendapat sokongan pada muktamar PAS yang lalu seperti bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.

 

“Orang seperti Mat Sabu itu tidak perlu tubuh parti baharu. Masuk sahaja parti DAP ataupun PKR,” kata bekas ahli Parlimen Pasir Mas yang menang pilihan raya pada 2008 atas tiket PAS. – The Malaysian Insider

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.