Permit The Edge Digantung Tidak Cemar Imej Negara – Nazri

Kuala Kangar – Tindakan menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan, tidak akan mencemarkan imej negara.

 

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, setiap negara mempunyai undang-undang sendiri yang menghalang sebarang syarikat penerbitan menyiarkan berita atau laporan palsu.

 

“Tindakan kerajaan menggantung permit syarikat The Edge juga tidak mengejutkan dunia, kerana biarpun negara menyokong kebebasan media, tetapi ia tidak bermakna media bebas untuk membuat laporan tidak betul.

 

“Mereka sepatutnya lebih bertanggungjawab, kerana apa-apa yang mereka tulis dan terbitkan di dalam surat khabar, pembaca akan menganggap ia satu kebenaran,” katanya selepas merasmikan Majlis Riang Ria Aidilfitri di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, hari ini.

 

Mohamed Nazri mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri pada Jumaat menggantung permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan, mulai esok.

 

Beliau berkata, sekiranya terdapat maklumat tidak betul dan palsu, terutama untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak demokratik, maka tindakan di bawah kanun jenayah boleh diambil.

 

Mengulas isu panggung wayang di Seri Iskandar dekat sini yang menetapkan syarat pasangan yang mahu menonton wayang dan duduk di kerusi berkembar perlu menunjukkan sijil nikah, Mohamed Nazri berkata, perkara itu perlu diteliti semula.

 

“Saya rasa syarat itu tidak wajar, kerana aktiviti menonton wayang bukan menjadi penyebab utama aktiviti tidak bermoral dalam negara.

 

“Perkara ini perlu dibincangkan secara menyeluruh, supaya ada penyusunan yang standard di setiap pawagam di seluruh negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.