Penglibatan NGO Islam Dalam Pakatan Baru Pembangkang Rugikan Ummah

SHAH ALAM – Keterlibatan badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan Islam ke dalam permuafakatan politik seperti yang dihasratkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya akan merugikan agenda Islam, demikian menurut Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman.

 

Mengulas lebih lanjut kata Abdullah, ianya lebih ‘merugikan’ apatah lagi permuafakatan politik tersebut bakal dijalin dengan  sebuah pakatan yang tidak menjunjung kedaulatan Islam, merujuk kepada pakatan pembangkang baru antara Gerakan Harapan Baru (GHB), DAP dan PKR.

 

“Sepatutnya mereka kena buat perkiraan dengan betul-betul, dengan jujur dan ikhlas.. sebab ‘vehicle’ pakatan rakyat itu tidak akan menjunjung kedaulatan Islam,” katanya ketika dihubungi Antarapos.

 

Beliau dalam pada itu berkata, NGO Islam yang wujud di negara ini seharusnya berperanan memperjuangkan agenda Islam, dimana keterlibatan dalam bidang politik khususnya politik sekular secara tidak langsung akan membelakangkan objektif utama penubuhan sesebuah NGO itu.

 

“NGO Islam ini sepatutnya dalam kotak perjuangan Islam yang akan mengangkat agenda Islam.. Tapi bila masuk dalam kotak politik dia akan dikalahkan perkiraan politik yang strateginya akan memenangkan politik, yang kadang kala membelakangkan keutamaan kalau dilihat dari sudut pandangan dakwah,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluahkan hasrat mahu mewujudkan permuafakatan politik antara gerakan progresif dan NGO, termasuk NGO Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan IKRAM.

 

Permuafakatan politik seperti yang dihasratkan Anwar itu juga bakal melibatkan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti BERSIH, ABIM, IKRAM dan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang baru sahaja diwujudkan.

 

Namun Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan berkata, setakat ini pertubuhan berkenaan mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ selain memaklumkan masih belum menerima apa-apa perincian lagi daripada Ketua Umum PKR itu berhubung perkara berkenaan.

 

Malah Abdullah turut melontarkan persoalan kepada NGO Islam yang berkenaan mengenai sejauh mana keterlibatan mereka mampu memberi jaminan bahawa agenda Islam serta mempertahankan kedaulatan agama dan kedudukan bangsa Melayu, akan dapat dipertahankan.

 

“Ini kerana dalam perjuangan PKR, mereka mengangkat liberal demokrasi. Dalam liberal demokrasi, mereka ketepikan agenda Islam dan apa-apa agenda bangsa.

 

“Mereka kena jawab satu soalan..di mana agenda Islam secara jujur dalam konteks keterlibatan itu, adakah ia akan dimartabatkan ataupun hilang di celah perjuangan,” soal Abdullah. – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.