Penggantungan The Edge Keputusan Tepat

KUALA LUMPUR – Penggantungan permit penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial merupakan tindakan yang tepat kerana terdapat kandungan berita akhbar berkenaan menggunakan sumber maklumat tidak sahih yang boleh memberi kesan kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.

 

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, langkah itu merupakan pilihan terbaik ketika ini daripada terus membiarkan akhbar berkenaan menerbitkan berita tanpa sumber maklumat tepat yang merupakan satu kesalahan.

 

Beliau yang juga Menteri Kese­jahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan, The Edge seharusnya menyerahkan sebarang maklumat termasuk daripada dokumen yang dicuri kepada pihak berkuasa bagi proses siasatan dan bukannya bertindak sendiri untuk tujuan politik tertentu.

 

“Kita tidak boleh sekadar menelan apa sahaja alasan yang diberikan The Edge sekarang. Bagaimana jika The Edge berbohong? Bagaimana jika data yang diperoleh tidak tulen? Bagaimana jika pakar yang mengesahkan data itu tidak bebas atau mempunyai hubungan dengan The Edge dan bagaimana jika rancangan untuk menggulingkan kerajaan seperti yang dinyatakan oleh bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd. (PetroSaudi), Xavier Andre Justo adalah benar.

 

“Oleh itu, menggantung mereka (The Edge) buat sementara waktu adalah keputusan yang tepat sementara menunggu siasatan dijalankan,” katanya dalam laman Facebook milik beliau hari ini.

 

Mengulas lanjut, Abdul Rahman menegaskan, siasatan pihak berkuasa terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan terhenti dengan penggantungan permit penerbitan The Edge.

 

Beliau berkata, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerja keras bagi menyiasat perkara tersebut.

 

Katanya, PAC merupakan peluang terbaik kepada 1MDB untuk mendedahkan kebenaran selepas banyak tuduhan tidak berasas dilemparkan terhadap mereka oleh akhbar The Edge dan The Sarawak Report.

 

“Mengapa tidak pasukan penyia­sat diberikan masa mencukupi dan ruang untuk melakukan kerja mereka. Tidakkah kita ingin mendapatkan kebenaran. Mengapa kita tidak boleh mempercayai siasatan yang dijalankan secara rasmi tetapi mudah percaya kepada laporan The Edge.

 

“Malah, buat pertama kali juga, 1MDB akan menjawab segala persoalan yang dilemparkan pengkritik utamanya iaitu Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua secara berdepan termasuk di hadapan ahli PAC yang lain,” jelasnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.