Pemuda UMNO Enggan Nafi Atau Mengiyakan Dakwaan Mahu Gulingkan Najib

Kuala Lumpur – Selepas mendakwa pimpinan Pemuda Umno mengatur rancangan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada April lalu, blog pro Umno, Mykmu.net sekali lagi tampil membuat dakwaan sama dalam entri terbarunya pada Sabtu.

 

Memetik rangkaian perbualan Whatsapp antara beberapa pemimpin Pemuda Umno, blog itu mendakwa terdapat pimpinan Pemuda Umno dan mereka yang rapat dengan ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dipercayai sedang bergerak mempengaruhi Pemuda agar tidak menyokong Najib.

 

Naib ketua Pemuda Khairul Azwan Harun ketika dihubungi enggan mengesah atau menafikan laporan blog berkenaan sebaliknya berkata tugas Pemuda adalah memastikan kejayaan Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

 

Katanya, hasrat dan tugas Pemuda Umno sudah diketahui perdana menteri dan tugas yang lebih besar ialah menarik sokongan pengundi muda.

 

“Kamu baca dan komen sendiri. Saya malas baca blog,” katanya memetik laporan portal pro-pembangkang Malaysian Insider.
Ketika ditanya keengganan menafikan laporan blog berkenaan sebagai tanda mengiakannya, Azwan berkata:”Terserah.”
Blog itu mendakwa, perbualan kumpulan itu antara lain mendakwa Najib seorang yang berpura-pura, maka tidak salah mereka berpura-pura menyokong tetapi berbuat sebaliknya.

 

Salah seorang daripada mereka meyakinkan kumpulan itu yang dia mempunyai pasukan media siber besar yang boleh menentang penyokong Najib, namun enggan menggunakan buat masa ini bagi menyembunyikan kekuatan.

 

Dakwaan terbaru MyKMU.net itu dibuat hanya 3 bulan selepas ia menerbitkan laporan mendakwa beberapa pemimpin Pemuda Umno cuba menyingkirkan Najib atau melemahkan kedudukannya.

 

Tetapi, pemimpin yang dinamakan dalam laporannya itu dengan segera menafikan dakwaan tersebut dan menganggap blog itu “tidak bertanggungjawab”.

 

Sementara itu, 2 exco Pemuda Umno iaitu Ibdillah Ishak dan Shahril Hamdan yang namanya disebut dalam blog berkenaan turut enggan memberikan komen mengenai pendedahan itu.

 

Khairy juga enggan mengulas isu itu selepas satu mesej Whatsapp dikirimkan kepadanya lapora portal tersebut.

 

 

 

BACA: Whatsapp Pemuda UMNO Mahu ‘Gulingkan’ Najib Terdedah

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.