Pejabat Perdana Menteri Dakwa Tuduhan Mahathir Tidak Berasas

Putrajaya – Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata tindakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menurutnya terus membuat pelbagai tuduhan yang tidak berasas, turut menyumbang kepada terhakisnya kepercayaan terhadap kerajaan dan parti.

 

Katanya, ia termasuk dakwaan kehilangan RM42 bilion kepunyaan 1MDB “walaupun penjelasan telah dibuat oleh kerajaan, turut menyumbang kepada terhakisnya kepercayaan terhadap kerajaan dan parti”.

 

“Kerajaan berharap semua pihak bersabar menunggu hasil siasatan yang sedang berjalan terhadap 1MDB,” kata PMO dalam satu kenyataan petang ini.

 

Ini, tambahnya, bagi menentukan kesahihan tentang pelbagai dakwaan yang wujud.

 

“Pada masa yang sama, kita elakkan membuat kenyataan yang boleh mengganggu-gugat kestabilan kerajaan dan perpaduan parti dan negara,” katanya.

 

Menurut PMO, kerajaan telahpun mengambil tindakan yang sepatutnya bagi menangi tuduhan dan kebimbangan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak mengenai isu 1MDB.

 

Ini, katanya, termasuklah arahan Kabinet untuk siasatan dibuat oleh Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

 

“Selain itu, satu dokumen ‘Fact Sheet’ mengenai 1MDB telahpun diedarkan kepada semua menteri-menteri kabinet sebelum ini.

 

“Satu pasukan petugas khas juga telah ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan oleh sebuah media asing bahawa dana 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, serta pendedahan bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd Xavier Andre Justo bahawa beliau telah menjual dokumen yang dicurinya kepada pihak tertentu yang dipercayai berkomplot untuk menggulingkan kepimpinan negara dan kerajaan.”

 

“Siasatan sedang berjalan dan kita perlu memberi ruang kepada pihak yang terbabit untuk menjalankan tugas mereka,” katanya.

 

Kenyataan PMO itu dikeluar sebagai respons kepada kenyataan Muhyiddin yang dilaporkan menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan permasalahan negara terutama isu skandal 1MDB.

 

Jika tidak, isu itu akan menjadi beban kepada Umno sebagai parti yang mendukung kerajaan, kata beliau yang juga timbalan presiden Umno ketika berucap merasmikan penutupan mesyuarat agung Umno bahagian Cheras malam tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.