PAS Kena Buat Pendirian Rasmi Jika Mahu Putus Dengan PKR, Kata Xavier

SHAH ALAM – PAS seharusnya tampil dengan satu pendirian rasmi dalam isu kerjasama dengan parti-parti politik pembangkang agar tidak lagi menimbulkan kekeliruan, demikian tegas Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar.

 

Beliau seterusnya berkata tindakan pemimpin parti Islam itu yang gemar mengeluarkan pendapat peribadi di media akan menyukarkan lagi bentuk kerjasama yang mahu dibentuk selepas Pakatan Rakyat (PR) dibubarkan.

 

Xavier memberi respon terhadap kesediaan PAS meninggalkan PKR jika parti itu berhasrat menyertai DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB) dalam gabungan pembangkang yang baru.

 

“Lebih baik PAS buat satu kenyataan rasmi yang ditandatangani oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

 

“Kita bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak. Jika ada pihak yang tidak berapa minta untuk bekerjasama dengan kita, itu adalah hasrat mereka dan kena buat keputusan yang rasmi. Maka kita pula akan ambil tindakan yang sewajarnya untuk meneruskan perjuangan kita,” katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

 

Terdahulu Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata parti berkenaan bersedia membawa haluan sendiri dan tidak akan membantah hasrat PKR untuk bersama dengan DAP dan GHB yang diterajui oleh kumpulan progresif PAS.

 

Ia juga berikutan pendirian Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang seolah-olah menyokong GHB dan ingin memutuskan hubungan dengan PAS.

 

Diajukan hal itu, Xavier berkata PKR terbuka dengan kesudian mana-mana pihak, termasuk GHB untuk bekerjasama demi membawa haluan baru dalam politik negara.

 

“GHB masih baru dan mereka sudah ada hasrat untuk bersama dengan masyarakat dan parti-parti politik untuk menuju ke arah satu landskap politik baru di Malaysia.

 

“Jika hasrat mereka (GHB) sama dengan hasrat kita dan rakyat boleh terima apa yang dibawa mereka, pada saya tiada masalah untuk kita bekerjasama dengan mereka,” ujar ADUN Sri Andalas itu lagi.

 

Sebelum ini Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberitahu partinya dan PKR mengadakan perbincangan bersama pimpinan GHB bagi membentuk gabungan pembangkang yang baru.

 

Namun keanggotaan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0 masih menjadi tanda tanya setelah DAP dilihat ‘tidak berminat’ untuk menjalinkan kerjasama dengan parti Islam itu. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.