Papan Iklan Hempap Depan Kereta

Semenyih – Dua lelaki berdepan saat mencemaskan apabila kenderaan yang mereka naiki dihempap sebuah papan iklan yang tumbang dalam kejadian angin kencang di Jalan Pasar Baru 2, Kampung Baru Semenyih, hari ini.

 

Timbalan Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, papan iklan berukuran 15×9 meter yang berada di tepi jalan tumbang akibat angin kencang dan hujan lebat lalu menghempap bahagian hadapan kereta jenis Toyota Hilux yang dinaiki kedua-dua mangsa.

 

“Ketika kejadian, kenderaan yang dinaiki mangsa dikatakan berhenti di lampu isyarat sebelum malang menimpa mereka.

 

“Bahagian hadapan kereta mangsa rosak teruk akibat dihempap papan iklan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

 

Mohd Sani berkata kedua-dua mangsa bagaimanapun disahkan selamat.

 

Katanya bomba menerima panggilan pada pukul 3.17 petang dan seramai enam anggota dari Balai Bomba Bangi dikerahkan ke lokasi kejadian bagi proses pemotongan dan pengalihan papan iklan yang menghempap kenderaan mangsa. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.