Mat Sabu Harap GHB Diluluskan Sebelum Akhir Bulan Depan

Ipoh – Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berharap parti Islam baru bagi menggantikan PAS dalam pakatan baru pembangkang dikenali sebagai Pakatan Rakyat 2.0 dapat diluluskan sebelum akhir bulan depan.

 

Beliau yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Harapan Baru (GHB) berkata, semua prosedur dan persiapan untuk keperluan penubuhan parti baru itu sudah diuruskan dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

 

“Nama bagi parti itu tidak akan diumumkan dulu, sebab kita tidak tahu sah ke tidak lagi.

 

“Tetapi, parti baru ini akan bekerjasama dengan PKR, DAP, semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menjadi sumber inspirasi pelajar universiti,” katanya berucap pada siri Jelajah Perdana GHB di Kampung Manjoi di sini malam tadi.

 

Muhamad berkata, sesiapa pun boleh menyertai parti berkenaan dan dengan nada gurauan menyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pun boleh menyertainya.

 

Tetapi, kalau masuk lewat, kena duduk belakanglah (sebagai pengikut dan bukan pemimpin),” katanya.

 

Beliau berkata, penubuhan parti Islam baru untuk bekerjasama dengan semua parti pembangkang penting kerana hanya muafakat sesama mereka sahaja boleh menumbangkan Barisan Nasional (BN).

 

Beliau juga menyifatkan pergolakan dalam pakatan pembangkang terutama hubungan retak antara PAS dan DAP antara lain berpunca daripada tindakan pemimpin parti yang sering ‘ponteng’ mesyuarat Majlis Presiden pakatan pembangkang sebelum ini.

 

Walaupun tidak menyebut nama, difahamkan beliau merujuk kepada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, yang sering tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan.

 

Mohamad berkata, apabila tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Presiden, maka banyak isu berbangkit tidak dapat dibincangkan seterusnya diselesaikan. “Inilah perlunya Majlis Presiden, perlu hadir mesyuarat, bincang, bila tidak hadir mesyuarat, inilah yang berlaku (perpecahan pakatan pembangkang),” katanya.

 

Sementara itu, bekas Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi Penaja GHB, Salahuddin Ayub menafikan bahawa mereka adalah golongan yang kecewa kerana kalah dalam pemilihan PAS sebelum ini.

 

“Kami bukan kecewa, jika kecewa lebih baik kami duduk rumah bermain dengan cucu atau ramai yang saran sambung belajar sehingga sampai doktor falsafah (PhD).

 

“Sebaliknya kami ingin terus berjuang, jadi beri kami peluang untuk meneruskan perjuangan untuk bawa Islam kepada orang Islam yang tidak kenal Islam dan bukan Islam.

 

“Walaupun yang bukan Islam tidak akan peluk Islam, tapi kami mahu beri mereka rasa selamat bersama Islam. “Kami sedar perjuangan ini (GHB) penuh berliku dan tidak dihampar permaidani merah, tetapi kami tetap berjuang,” katanya.

 

Bekas calon Ketua Pemuda PAS dalam pemilihan baru-baru ini, Suhaizan Kaiat pula mengakui ramai ahli PAS bimbang kehadiran parti Islam baru dipelopori mereka akan mengakibatkan berlaku pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekali gus menguntungkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

 

Oleh itu, katanya, perlu ada permuafakatan dan persepakatan antara mereka dengan PAS bagi mengelakkan perkara itu berlaku kerana lawan mereka adalah sama.

 

“Sebagai contoh, PAS mungkin sukar untuk menang di kawasan pantai barat Semenanjung sedangkan peluang kami lebih cerah.

 

“Pada masa sama, PAS mungkin boleh menang banyak kerusi di kawasan pantai timur Semenanjung berbanding kami.

 

“Jadi, kita semua kena faham situasi ini untuk elakkan pertembungan tiga penjuru dan pecah undi pada PRU akan datang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.