Lepaskan Jawatan Dalam 1MDB, Tapi PM Tak Setuju – Muhyiddin

Kuala Lumpur – Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan beliau ada meminta Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan sebagai pengerusi kepada lembaga penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan tetapi tidak diendahkan perdana menteri.

 

Timbalan perdana menteri itu berkata, saranannya tidak bermaksud mempunyai niat jahat tapi tidak mahu Najib dikaitkan dengan skandal berterusan 1MDB yang boleh menjejaskan nama baiknya.

 

“Saya beritahu beliau untuk lepaskan jawatannya dalam 1MDB, saya bimbang seolah beliau (dilihat) terlibat. Tapi beliau tidak setuju.

 

“Saya tidak punyai niat jahat, niat saya baik untuk tolong beliau. Apa faedah yang saya dapat tapi saya kena cakap benar,” katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Cheras di Kuala Lumpur hari ini.

 

Beliau yang juga menteri pendidikan berkata masalah 1MDB merupakan isu pokok yang tidak boleh diabaikan dan perlu dicari penyelesaiannya.

 

“Saya orang (menteri) yang pertama nyatakan pendirian mengenai 1MDB walaupun sudah diputuskan perdana menteri.

 

“Tapi saya cakap kita kena cari jalan penyelesaian dan bukannya tuding jari. Kalau ada bukti sahih maka cari jalan penyelesaian. Beban ini (1MDB) bukan kecil tapi amat besar,” katanya.

 

Muhyiddin juga mengakui antara menteri yang begitu lantang menyuarakan hal 1MDB tersebut dalam mesyuarat parti atau Kabinet kerana merasakan tanggungjawabnya dan itu dilakukan tanpa ada rasa takut kedudukannya akan tergugat.

 

“Bukan perkata baru saya sebut dalam MT, bukan sebab nak jadi lain tapi saya cakap benar, itu hak bapa saya sebagai tok guru selalu kata kena cakap benar.

 

“Saya tidak takut tergugat atau apa kalau ada benda serius saya kena cakap betul, kerana rakyat tunggu adakah kerajaan bertanggungjawab (dalam isu ini) dan adakah pembetulan akan dibuat,” katanya.

 

Beliau berkata, jumlah hutang RM42 bilion 1MDB merupakan satu nilai yang besar hingga melebihi peruntukan sebuah negeri dan ia menjadi beban kepada negara ketika nilai ringgit yang tidak menentu.

 

“RM42 bilion bukan jumlah sikit dengan nilai ringgit jatuh, mungkin sekarang cecah RM50 bilion belanjawan Johor setahun sebanyak RM1 bilion kalau ikutkan banyak nilai itu boleh digunakan dalam belanjawan negeri.

 

“Kementerian saya RM40 bilion itu pun tidak cukup jumlahnya. Memamg (1MDB) ada aset tapi beban itu terlalu besar.

 

“Saya ada beritahu perdana menteri tapi saya tidak boleh cakap luar kerana takut orang salah tafsir kata ini adalah untuk gulingkan perdana menteri. Saya tidak mahu ada pertembungan dengan perdana menteri kerana parti tidak kuat.

 

“Walaupun ramai yang mengacah untuk saya pergi, tapi apa yang dimaksudkan dengan pergi?

 

“Sekarang ini situasi berlainan Umno tidak kuat, komponennnya, parti MCA baru nak pulih tapi keyakinan orang Cina terhadapnya masih diragukan dan MIC pula, mana MIC sekarang ini,” soalnya. – The Malaysian Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.