Konsert K-Pop Sebar Kristian – ISMA

Bangi – Penganjuran konsert K-Pop di Malaysia perlu diawasi kerana ia bukan saja boleh merosakkan umat Islam, malah ia dipercayai merancakkan penyebaran dakyah Kristian Evangelis di kalangan masyarakat negara ini.

 

Ahli Jawatankuasa Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, Ustaz Omar Kassim, berkata penganjuran konsert seperti itu pastinya menggembirakan dan disokong puak Evangelis dan DAP yang ternyata sebagai parti anti-Islam.

 

Beliau berkata, adalah tidak menghairankan jika Evangelis sering kali menyokong segala bentuk hiburan liberal yang merosakkan masyarakat dan membantah sebarang nilai mahupun prinsip yang berakhlak dan menjaga maruah masyarakat.

 

“DAP yang rapat dengan Evangelis ini pastinya menyokong konsert seperti itu sebagaimana mereka menyokong pesta arak tempoh hari, walaupun ia ternyata satu amalan yang merosakkan masyarakat serta mendapat tentangan hebat daripada majoriti rakyat Malaysia.

 

“Sebaliknya, perkara elok seperti langkah menetapkan couple-seat di dalam pawagam hanya untuk yang sudah sah bernikah untuk mengelak kejadian tidak senonoh dalam pawagam, dibantah pula oleh mereka.

 

“Tindakan DAP ini tidak lain hanya menggambarkan betapa mereka takut Islam menjadi lebih kukuh di Malaysia”, katanya.

 

Ustaz Omar berkata, ada laporan menyatakan kebanyakan artis K-Pop adalah aktivis gereja dan mereka mengambil kesempatan mengadakan konsert dengan membaca ayat-ayat daripada kitab Bible serta mengajak peminat mereka ke gereja.

 

Sebelum ini, dalam satu keluaran majalah ‘World’ – sebuah majalah Kristian – populariti K-Pop telah merancakkan kerja-kerja dakyah Kristian serta menjadikan agama itu lebih mudah diterima oleh masyarakat awam.

 

K-Pop (Korean Pop) berasal dari Korea, yang dahulunya hanya memiliki kurang 0.5 peratus penganut Kristian, namun kini mencatatkan Kristian sebagai kelompok agama terbesar berikutan gerakan dakyah besar-besaran agama tersebut sekitar tahun 70-an dan 80-an.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.