‘Kami Bukan Parti Serpihan Pas’

Pelancaran Gerakan Harapan Baru pada 13 Julai lalu, mewarnai kancah politik di negara ini.

 

Melihatkan barisan kepimpinannya, ramai menyifatkan Harapan Baru sekadar parti serpihan Pas yang tidak akan bertahan lama.

 

Namun, tidak kurang ramai juga yang mengalu-alukan penubuhannya dan berharap ia mampu membawa pembaharuan dalam landskap politik tanah air. Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Siti Nursyahidah Abu Bakar, Sinar Online, Nizam Zain, jurufoto, Rosli Talib dan juruvideo, Fauzi Mohamed bersama Setiausaha Harapan Baru, DR DZULKEFLY AHMAD bagi mendapatkan gambaran lanjut mengenai perjuangan entiti ini.

 

Kemunculan Harapan Baru dalam dunia politik tanah air agak mengejutkan. Lebih-lebih lagi ia ditubuhkan selepas Muktamar Pas ke-61. Barisan kepimpinannya pula terdiri daripada bekas pemimpin Pas. Ada tak penglibatan bekas pemimpin dari parti lain seperti DAP, PKR, atau Umno?

 

Terus terang saya sebutkan Harapan Baru merupakan satu inisiatif daripada sekumpulan bekas pimpinan Pas dan pertemuan pada 16 Jun lalu di Muar, Johor merupakan gerak pertama kami. Alhamdulillah, kami dapat sokongan dan maklum balas yang lantas mencetuskan satu gelombang mahukan kami terus membina dan menampilkan satu wadah politik baharu.

 

Memang betul, pengasas dan nukleusnya itu bekas pimpinan Pas. Tetapi nyata bahawa usaha kali ini akan menggembleng seluruh aktivis pimpinan NGO Islam dan bukan Islam, termasuklah Non Govermental Individual (NGI). Sama ada mereka golongan profesional, ahli akademik dan sebagainya.

 

Pendekatan kami adalah inklusif iaitu menggembleng seluruh tenaga umat dan rakyat, merentasi kaum, agama dan budaya. Jadi hasil akhirnya menyaksikan Islam yang sifatnya inklusif itu dapat kami terjemahkan dalam wadah politik ini dan bukan hanya apa yang dikatakan sebagai kelompok yang kecewa. Inilah kelainannya wadah politik yang baru ini.

 

 

Siapakah yang memberi idea penubuhan Harapan Baru?

 

Sejujurnya, pada awal kekalahan kami memang berpandangan tidak akan menubuhkan satu wadah baharu. Saya sendiri dalam muktamar sebutkan kami sangat sayangkan Pas. Tetapi ketika kami membuat sesi brain storming dan wacana selepas itu, semuanya tanpa berkecuali, apabila menilai laluan Pas ketika ini, kami tanpa pertikaian, merumuskan bukan kami tetapi rakyat dan umat memerlukan penampilan sebuah wadah politik baharu berteraskan Islam dan melahirkan masyarakat madani dengan pendekatan syariah kontemporari.

 

Kami sepakat mengatakan tiada pilihan lain, untuk menunggu perubahan dalam Pas itu mungkin tidak. Sebab apa? Yang ada hari ini akan terus perkukuhkan kedudukan mereka bukan perjuangan membela rakyat.

 

Secara ringkas, Harapan Baru ialah parti pemimpin yang tewas pada pemilihan lalu?

 

Saya tidak mahu menggunakan istilah itu kerana kita tidak membangunkan wadah ini kerana tewas. Kami sudah tewas banyak kali. Mengapa setiap kali kami kalah tidak berlaku seperti ini? Mengapa kali ini? Jawapannya ada pada yang benar-benar memantau kami. Kami tidak mahu menyebutkannya kembali kerana setiap kali menyebutkan kenapa kami perlu wujud, ia menggores hati dan jiwa kami dan kami tidak senang untuk menyebutkannya acap kali. Cukuplah sekali dua.

 

Tetapi bagi kami sangat jelas, mereka juga sebut kalau tak suka boleh keluar dan buat parti baharu. Saya berpegang kepada ayat ALLAH. Beramallah kepada ALLAH… ALLAH, rasul dan orang beriman akan saksikan. Jadi hujah ini untuk semua. Ya, kami sayang Pas, tapi kami juga sayang perjuangan Islam dan tidak mahu ia melalui proses pereputan.

 

Kami minta maaf, kami mahu teruskan perjuangan ini dan kami yakin formula ini ditunggu gerakan Islam di seluruh dunia. Ini sumbangan kami kepada perjuangan politik Islam jadi kamu dianggap begitu. Bukan sebagai bekas ahli Pas atau serpihan Pas ataupun pemimpin yang kecewa kerana kalah. – Sinar Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.