JPN Diperintah Keluarkan Sijil Kematian Sosilawati

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil kematian jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang menemui ajal akibat dibunuh pada 2010.

 

Hakim Datuk Asmabi Mohamad memutuskan demikian selepas membenarkan semakan kehakiman lima anak Allahyarham iaitu Erwan Suwari Rizuwan Buhari, 29, Md. Erwan Nasri, 28, Erni Erinawati Sofia, 26, Erni Rineelawati, 24, dan Siti Nur Fatimah, 17, terhadap keputusan jabatan itu yang enggan mengeluarkan sijil kematian ibu mereka.

 

JPN dalam surat bertarikh 25 Julai 2014 kepada keluarga Sosilawati menyatakan bahawa pendaftaran kematian Sosilawati hanya boleh dipertimbangkan selepas pelupusan kes rayuan itu oleh keempat-empat yang dituduh dalam perbicaraan kes pembunuhannya oleh Mahkamah Rayuan.

 

Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan, selepas mendapati mereka bersalah membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, 44.

 

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.