Henti Politik Cara Lama Sampai Pertaruh Isteri

SHAH ALAM – Pengamalan politik lama yang dipenuhi sentimen dan penggunaan retorik agama, penggunaan isu perkauman, wang serta ‘patronage’ perlu diberikan titik noktah.

 

Penganalisis politik, Dr Maszlee Malik berpendapat, negara masa kini memerlukan nafas segar politik baru berteraskan polisi yang baik, pertandingan idea yang matang bagi meneruskan pembelaan terhadap keadilan dan kesaksamaan.

 

“Politik negara perlu digantikan dengan politik yang berintegriti, amanah, bebas rasuah, berakauntabiliti dan berteraskan amanah.

 

“Politik dunia ketiga yang mewarnai ruang atmosfera politik Malaysia perlu dihentikan dan rakyat juga perlu dihargai akal mereka agar mereka sedar akan hak sebagai warga dan bukan hanya sebagai penerima gula-gula dari ahli politik,” katanya kepada Sinar Online, semalam.

 

Dr Maszlee turut mengulas mengenai isu bai’ah yang terjadi dalam Pas.

 

“Isu baiah talak tiga merupakan tindakan pre-emptif politik Pas untuk menanggani isu lompat parti pasca PRU12. Di kala kerajaan PR di Perak roboh kerana tindakan beberapa wakil rakyat dari DAP dan PKR yang telah melompat parti, Pas telah berjaya mengelakkan wakil rakyat mereka dari dibeli untuk melompat, sekali gus telah  menyelamatkan kerajaan PR di Selangor. Ini merupakan justifikasi Pas.

 

“Persoalannya, apakah sistem politik di tanah air ini kekurangan mekanisme undang-undang dan nilai moral kendiri untuk mengelakkan isu lompat parti, sekali gus menjamin politik yang penuh integriti? Bagaimana pula jika isu lompat parti bukan disebabkan dibeli seperti yang berlaku lewat insiden Perak, tetapi disebabkan oleh  prinsip dan disebabkan sesebuah parti itu tersasar dari landasan perjuangannya?,” soalnya

 

Malah katanya, “warga Malaysia perlu diperdayakan dan dihargai akal mereka agar sedar akan hak sebagai warga dan bukan hanya sebagai penerima gula-gula daripada ahli politik.

 

“Jika rakyat Malaysia boleh mengamalkan politik matang, isteri-isteri dan institusi kekeluargaan tidak perlu lagi menjadi pertaruhan di dalam persaingan politik kepartian lagi.”

 

Terdahulu Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan sumpah bai’ah talak tiga oleh semua wakil rakyat Pas sama sekali tidak sah dan tidak seharus dikaitkan dengan politik.

 

Isu sumpah bai’ah berbangkit ekoran tindakan wakil rakyat Pas menubuhkan parti Gerakan Harapan Baru selepas kalah dalam pemilihan pada Muktamar Pas ke-61.

 

Baru-baru ini, Pesuruhjaya Pas Kelantan yang juga Menteri Besar negeri itu, Datuk Ahmad Yakob menegaskan, talak tiga terkandung dalam lafaz bai’ah atau sumpah taat setia yang dibuat setiap wakil rakyat Pas di negeri tersebut sejak 2004. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.