DHPP Perak Isytihar Keluar PAS, Sokong GHB

IPOH – Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Perak mengisytiharkan keluar daripada Pas sekali gus menyokong pembentukan Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) sebagai sebuah parti politik yang sah.

 

Ketuanya, S Nelli Raja berkata, tindakan itu dibuat selepas kecewa dengan komitmen dan hala tuju yang dibawa oleh kepimpinan baru Pas di peringkat Pusat dan negeri.

 

“Kita sebulat suara pada hari ini (semalam) bahawa semua ahli jawatankuasa DHPP Perak peringkat negeri dan kawasan berhenti dan meletak jawatan daripada terus menyokong Pas.

 

“Tindakan ini juga dibuat selepas beberapa bekas pemimpin Pas Pusat dan negeri yang banyak berjuang untuk pihak kami disingkirkan daripada saf kepimpinan baru,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Dialog Bersama Pimpinan #harapanbaru Bersama HarapanBaru Malaysia di Hotel Symphiny Suites, di sini, semalam.

 

Terdahulu, Nelli Raja mengumumkan pihaknya keluar daripada Pas di hadapan Pengerusi Harapan Baru, Mohammad Sabu dan lebih 500 peserta yang menghadiri sesi Dialog berkenaan.

 

Menurut beliau, keputusan untuk keluar daripada pas juga dibuat selepas pihaknya melakukan perbincangan dengan ke semua wakil DHPP Perak di peringkat negeri dan kawasan.

 

“Tindakan ini bukan secara membabi buta malah ianya telah dibuat perbincangan terlebih dahulu bersama pimpinan di peringkat kawasan dan negeri dan akhirnya inilah kata putus yang telah dipersetujui,” katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya berharap Harapan Baru akan dapat bersama-sama PKR dan DAP membentuk pakatanbaru bagi menakluki Putrajaya daripada genggaman BN.

 

“Pakatan baru ini memerlukan gandingan bersama PKR dan DAP selain kami yakin ia mampu menarik perhatian rakyat khususnya orang bukan Melayu dan Islam,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.