Dewan Ulama PAS Sokong Pendirian Haron Din Berpisah Dengan PKR

KUALA LUMPUR – Dewan Ulama Pas menyokong pendirian tegas Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din bahawa Pas bersedia berpisah dengan PKR jika sekutunya itu menyertai pakatan pembangkang baharu bersama DAP dan Gerakan Harapan Baharu (GHB).

 

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, pendirian tegas itu bertepatan dalam isu yang melibatkan hubu­ngan antara parti-parti pembangkang.

 

“Kalau itu apa yang dikatakan oleh ketua saya (Haron), maka kami patuh, pendirian tegas itu bertepatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

 

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan baru-baru ini membayangkan tentang penubuhan pakatan pembangkang baharu yang merangkumi semua kumpulan progresif termasuk Bersih, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan GHB.

 

Kelmarin, Haron berkata, pendirian PKR tentang penubuhan pakatan pembangkang baharu itu menggambarkan seolah-olah parti itu ingin memutuskan hubungan dengan Pas.

 

Sementara itu, dalam satu ken­yataan melalui laman Facebook Dewan Ulama Pas, Mahfodz berkata, beliau terkilan kerana masih ada suara dalam kalangan ahli Pas yang mempertikaikan kepemimpinan baharu Pas tanpa berdasarkan asas dan alasan yang kukuh.

 

Beliau memberitahu, kejayaan Pas untuk kekal kukuh walaupun terpaksa berdepan pelbagai ujian dan rintangan sejak penubuhannya pada tahun 1951 adalah berikutan matlamatnya bagi mewujudkan masyarakat yang mengamalkan segala ajaran al-Quran dan as-Sunnah.

 

Menurut Mahfodz, perjuangan Pas adalah untuk menegakkan agama Islam bagi mencari keredaan Allah dan berbeza dengan perjua­ngan pihak lain yang berasaskan ideologi-ideologi berteraskan akal ciptaan manusia. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.