Bapa Dukung Anak Hampir 20 Tahun

SEMALAM, Mohd Kamarul Hisyam Mohd Rawi, 34, yang juga bekas tentera Kor Jurutera, Kem Desa Pahlawan bangun dan mandi seawal pagi, teruja untuk menerima bantuan ‘One Off’ dari Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).

 

Bukan dia mandi sendiri, namun sejak kaki kirinya terputus separas lutut dan sebelah lagi lumpuh, dia langsung tidak mampu mengengsot atau berbuat apa-apa setelah terjatuh dari keretapi pada 1996.

 

“Untuk bergerak di dalam rumah, naik ke kereta dan turun ke kereta semuanya bapa kena angkat sebab saya langsung tidak boleh bergerak. Kalau dia tidak bawa saya, saya tidak boleh melihat ke luar rumah,” katanya.

 

Hanya menunggu bapanya, Mohd Rawi Mahmod, 65, mengangkat menggunakan sepenuh kudrat yang ada memandikan anak lelaki yang dahulu pernah menjadi harapan keluarga.

 

“Sedih. Saya sedih kerana tidak gagah seperti dulu, malah saya sangat kecewa tidak dapat bantu keluarga, sebaliknya mereka kena bantu saya sepanjang hidup,” katanya terketar-ketar.

 

Kaki kirinya yang masih ada biarpun terputus jari langsung tidak dapat berfungsi, malah sudah dua kali lutut tersebut dibedah dan dijahit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), tetapi usaha untuk membolehkan dia berjalan tidak berhasil.

 

Kini, harapan pemuda berkenaan hanya bergantung sepenuhnya kepada kudrat bapa yang sudah tua, uzur, malah menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Ibarat kaki bapa menjadi kaki Mohd Kamarul Hisyam, bayangkan berapa banyak kudrat dikerah bagi mengangkat lelaki muda tersebut.

 

Kisah malang bekas tentera tersebut pernah gempar apabila dia ditemui dengan keadaan berlumuran darah setelah terjatuh dari Stesen Keretapi Temangan, Machang ketika menghadiri kursus di Port Dickson.

 

Kata Mohd Rawi, anak keduanya kini seolah-olah ‘mati hidup semula’ dan semua yang menemuinya mengatakan dia sudah mati.

 

“Dia balik ke rumah sebab mahu lihat rumah kami terbakar sebelum kejadian itu. Tak seorang pun perasan dia jatuh di bawah rel pada waktu Maghrib semasa bersesak di pintu keretapi, namun kekuatan Abe (Mohd Kamarul Hisyam), menjadikan dia masih bernyawa.

 

“Fizikalnya dia tidak sempurna; hilang kaki, sebelah kaki hilang upaya dan mentalnya agak terganggu, namun antara sedar atau tidak, saya sudah dukungnya hampir 20 tahun,” katanya dalam nada suara serak, terharu.

 

Mohd Rawi yang tinggal di Batu 30, Machang juga bekas tentera Lima Artileri sehingga kini masih bertahan dan sabar melayan karenah anak lelakinya, mendukungnya dengan kudrat yang ada.

 

“Kami adalah bekas tentera. Tugas tentera banyak mengajar kami untuk dan tabah. Dia jatuh waktu Maghrib, kakinya tercabut, dia ikat lututnya dengan baju, manakala kaki yang terputus itu dia pegang.

 

“Kaki kiri dan beberapa jari tangan pula patah dan hampir remuk, manakala kepalanya juga berdarah dipercayai terhantuk rel keretapi. Penuh darahnya ketika dia ditemui seorang penoreh getah pada Subuh hari keesokannya. Semua ingat dia sudah mati, tetapi hayatnya masih panjang,” katanya.

 

Kata Mohd Rawi, kekuatan anaknya untuk tinggal semalaman bersama sebelah kaki putus menjadikan dia mengentalkan semangat setiap kali mengangkat dan mendukung anaknya.

 

“Siapa kata dia tidak berat. Saya rasa dia sangat berat. Tengok badan macam 60 kilogram (kg), tetapi setiap kali angkat, saya rasa beratnya 80 kg atau mungkin 100 kg,” katanya berseloroh.

 

Mengakui hati bapa yang sentiasa kasihkan anak, dia sanggup dukung Abe selagi hayat dan kudrat masih ada, cuma sesekali dia bimbang memikirkan nasib anak sekiranya dia dan isteri, Che Minah Ismail, 55, sudah tiada.

 

“Isteri saya menghidap penyakit rendah kalsium, tidak boleh penat, manakala saya sendiri mengalami penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

 

Mujurlah anaknya kini yang sudah menjadi orang kelainan upaya (OKU) itu mendapat bantuan sara hidup dari Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sebanyak RM200 sebulan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

 

“Abe langsung tidak pernah menangis dan mengadu sakit sejak mula-mula dia ditemui. Awal penemuan dulu, dia ceritakan semua apa yang terjadi, tetapi kini dia kata tidak ingat. Kadang-kala mentalnya terganggu. Bukan dia ganggu orang, tetapi tidak mampu mengawal untuk buang air besar atau air kecil,” katanya.

 

Nasib Mohd Kamarul Hisyam mendapat perhatian Yang Dipertua PVATM, Datuk Muhammad Ghani menerusi cadangan bantuan kerusi roda bermotor sama ada dari PVATM atau JHEV.

 

“Pihak kami akan berusaha mendapatkan peralatan tersebut dalam usaha memudahkan pergerakannya seharian,” katanya. – Sinar Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.