Nik Aziz: Apa Salah Khalid Ibrahim?

Kuala Lumpur – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini tampil menyatakan sokongannya terhadap kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

Sependapat dengan presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nik Aziz membangkitkan soal prestasi cemerlang Khalid memimpin Pakatan Rakyat negeri dalam pilihan raya umum lalu.

“Saya sebagaimana banyak pihak di negara ini turut tertanya-tanya, atas silap dan salah manakah Tan Sri Khalid (kanan) ingin digugurkan dari jawatan menteri besar?” soal Nik Aziz.

“Setelah satu penggal beliau memimpin dengan cemerlang sehingga di dalam pilihan raya umum yang lepas, prestasi Pakatan di Selangor semakin meningkat dan beliau dikekalkan di atas kerusi menteri besar, tiba-tiba hari ini beliau ingin digugurkan.”

Hadi pada Jumaat dilapor mempertahankan Khalid kerana beliau dikatakan tidak pernah khianat menjalankan amanah rakyat.

Sambil menyeru seluruh pimpinan PAS menerima pandangan itu, Hadi berkata beliau sudah mendengar semua hujah dan mendapati majoriti akar umbi PAS bersetuju Khalid dikekalkan.

 

Perlu taat ‘nakhoda’

Menulis di Facebook, Nik Aziz hari ini berkata, salah dan silap tidak dapat dinafikan, namun adakah ia sehingga menyebabkan Khalid digugurkan.

“Saya kira persoalan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu di meja rundingan Pakatan Rakyat, barulah kita bercakap soal pengganti.

“Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai,” kata bekas menteri besar Kelantan itu.

Nik Aziz juga menegaskan keperluan anggota PAS taat kepada Hadi (kiri) sebagai “nakhoda” parti Islam itu.

“Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik,” katanya.

Beliau bagaimanapun menganggap keadaan di Selangor hanya kemelut kecil dan proses mematangkan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.