Mahkamah Tinggi tolak permohonan injunksi sementara bekas ADUN Nenggiri

- Advertisement -

CYBERJAYA – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim, untuk menghentikan pilihan raya kecil DUN itu daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.

Memetik laporan BH, Peguam Chetan Jethwani, yang mewakili BERSATU berkata Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, membuat keputusan itu selepas memutuskan tiada kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kerana Mohd Azizi boleh menyertai pilihan raya kecil itu.

Berikutan keputusan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri yang dijadualkan esok bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya bagi kawasan berkenaan.

Menurut laporan itu lagi, mahkamah turut menyatakan bahawa injunksi sementara itu tidak boleh diberi bagi menghalang SPR daripada menjalankan tugasnya mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Chetan Jethwani berkata, permohonan injunksi penuh akan didengar pada 28 Ogos ini.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Azizi membayar kos RM7,000 bagi setiap defendan.

Terdahulu, dalam saman pemula yang difailkan pada 25 Jun lalu, Mohd Azizi selaku plaintif menamakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan SPR selaku defendan.

Beliau memohon perisytiharan untuk menghentikan SPR daripada mengadakan pilihan raya di kawasan DUN berkenaan dan memohon perisytiharan bahawa kerusi DUN itu adalah tidak kosong dan masih disandang olehnya.

Mohd Azizi juga memohon perisytiharan bahawa pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Nenggiri tidak boleh dijalankan dan dilakukan oleh SPR kerana ia masih disandang olehnya.

Turut dipohon, perisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahliannya dalam BERSATU melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah pemecatan yang tidak sah.

Mohd Azizi juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman daripada Mohd Amar kepada SPR bahawa kerusi ADUN Nenggiri kosong, digantung perlaksanaannya.

Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman itu adalah tidak sah dan batal, dan pemecatan jawatannya daripada BERSATU adalah berniat jahat.

Dalam tuntutan itu, Mohd Azizi menegaskan bahawa pindaan kepada Fasal 10 perlembagaan BERSATU yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu, menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan BERSATU mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada BERSATU.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat