KDN sahkan ancaman keganasan dalam negara terkawal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan ancaman keganasan semasa dalam negara berada pada tahap ‘terkawal’.

Menteri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata walaupun terdapat kerisauan dalam kalangan masyarakat terhadap potensi serangan keganasan, tiada petunjuk jelas berhubung ancaman itu, sebaliknya lebih terarah kepada serangan ‘lone wolf’ (pengganas atau penjenayah bertindak bersendirian).

Beliau berkata tahap itu lebih baik berbanding tahap direkodkan sepanjang 2014 sehingga 2019 iaitu pada tahap ‘kemungkinan besar’ iaitu bermaksud ada potensi serangan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Katanya, tahap itu juga dicerminkan melalui kedudukan terbaru Global Terrorism Index (GTI) yang merekodkan kedudukan Malaysia semakin meningkat ke kedudukan yang lebih baik iaitu pada kedudukan 81 berbanding ke-76 pada tahun sebelumnya dan kedudukan ke-68 dua tahun sebelum itu.

“Malaysia juga menduduki tempat ke-10 dalam Global Peace Index 2024 berbanding di tempat ke-19 pada 2023,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) yang meminta menteri menyatakan status kes pencerobohan di Istana Negara dan ancaman bunuh kepada pemimpin politik serta perancangan tuntas untuk membanteras unsur ekstremisme daripada semakin menular dalam Malaysia.

Saifuddin berkata berhubung status kes pencerobohan di Istana Negara, KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan bersabit laporan polis, yang telah dibuat.

Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 447/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Kedua-dua suspek telah mengaku bersalah dan telah dijatuhi hukuman, manakala, bagi status kes ancaman bunuh kepada pemimpin politik, Yang Berhormat Jerai tidak menyatakan secara spesifik kepada mana-mana pemimpin politik.

“Untuk makluman Yang Berhormat, KDN amat menitikberatkan usaha ke arah memerangi dan membanteras unsur extremisme melalui beberapa pendekatan,” katanya.

Pendekatan itu termasuk tindakan perundangan dengan Malaysia telah menguatkuasakan peruntukan undang-undang bagi memerangi keganasan iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas (SOSMA) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015, Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Dari Aktiviti Haram 2001 (AMLAFATPUAA) dan Akta Langkah-langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015.

Menerusi langkah pencegahan, PDRM aktif dalam menjalankan operasi risikan dan pengawasan dalam usaha untuk mengesan dan menggagalkan sebarang perancangan atau cubaan serangan kumpulan pengganas di negara ini.

Saifuddin berkata kawalan sempadan negara termasuk pemeriksaan di pintu masuk negara terus diperkukuh dan ditingkatkan untuk menghalang kemasukan pengganas asing yang cuba menjadikan negara ini sebagai negara transit atau ‘safe haven’.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat