Lelaki Kantoi Elak Bayar Tol Lebuh Raya RM900

Taktik licik dan tidak bertanggungjawab seorang pemandu cuba mengelak daripada membayar tambang tol di Plaza Tol Sg Besi dengan mengekori rapat keadaan dihadapannya akhirnya memakan dirinya sendiri.

Ianya berikutan palang tol lorong berkenaan tertutup sebelum pemandu kenderaan tersebut berjaya melepasinya berikutan kesesakan lalu lintas dihadapan plaza tol berkenaan.

Berita Harian memetik sumbernya melaporkan, seorang petugas di plaza tol berkenaan berasa curiga apabila kereta Proton Saga dinaiki pemuda berkenaan meluru laju dan mengekori rapat kereta dihadapannya semasa melalui lorong Smart Tag.

Dan setelah lelaki tersebut terperangkap, petugas berkenaan mengarahkan pemuda itu keluar dari kereta dan semakan nombor pendaftaran mendapati kenderaan itu mempunyai rekod mengelak membayar tol sebanyak kira-kira RM900.

“Lelaki itu juga dipercayai kerap menggunakan laluan berkenaan dan sudah banyak kali dia berjaya mengelak daripada membayar tol.

“Bagaimanapun, kali ini dia tidak bernasib baik apabila terperangkap kerana kesesakan trafik yang menyebabkan kenderaan di depannya bergerak perlahan,” kata sumber berkenaan.

Pemuda berkenaan kemudian ditahan di Plaza Tol tersebut untuk tindakan lanjut.

Malaysian Digest ingin menasihati agar semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan, dan dalam pada masa sama menuntut pemansuhan tol di seluruh negara daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepertimana dijanjikan menerusi manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.