Kapal Minyak Thailand Disamun Lanun Di Kuantan

KUANTAN – Sebuah kapal tangki membawa minyak diesel milik syarikat Thailand disamun sekumpulan lelaki dipercayai lanun ketika berada di perairan luar Kuantan pada 23 Jun lalu.

Ketua Tentera Laut Thailand Bahagian ke-2 Laksamana Pornchai Pinthong berkata sekumpulan enam atau tujuh lanun itu berjaya mencuri 1.5 juta liter minyak diesel daripada 3.8 juta liter muatan keseluruhan yang dibawa kapal itu.

“Kapal itu yang membawa muatan diesel dalam pelayaran ke Songkla dari Singapura,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kapal tangki dikenali CP14 itu yang membawa 17 anak kapal meneruskan pelayaran ke Thailand selepas kejadian dan selamat tiba di perairan Songkla petang semalam, katanya.

Pinthong berkata kejadian berlaku kira-kira 9 malam di perairan Kuantan apabila kapal tangki itu dinaiki kumpulan lanun terbabit yang bertindak mengikat kapten dan semua anak kapal serta memusnahkan peralatan sistem amaran keselamatan kapal.

Semua lanun itu membawa senjata dan mengancam akan mencederakan anak kapal jika tidak mengikut arahan, katanya dan menambah, kesemua anak kapal bagaimanapun tidak dicederakan.

Beliau juga berkata pihaknya telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia berkenaan kejadian terbabit untuk tindakan lanjut.

Tentera Laut Thailand turut meminta kapal-kapal supaya berhati-hati ketika belayar di kawasan perairan terbabit berikutan ancaman daripada lanun.

Hari ini, Tentera Laut Thailand menghantar kapal tenteranya ke kapal tangki terbabit yang sedang berlabuh di perairan berhampiran Pulau Tikus, Songkla untuk memeriksa keadaan kapal itu serta krunya.

Pemeriksaan turut disertai pegawai Jabatan Kastam serta Jabatan Khidmat dan Perlindungan Buruh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.