Penangguhan Pemilihan UMNO Tindakan Biasa, Kata Tun Mahathir

ALOR SETAR – Keputusan menangguhkan pemilihan Umno yang dijadualkan pada tahun depan selama 18 bulan merupakan tindakan biasa, yang turut dilakukan sebelum ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno itu berkata, beliau juga pernah menangguhkan pemilihan Umno ketika memimpin parti utama Barisan Nasional (BN) itu berikutan beberapa sebab.

 

“Saya dulu pun biasa tangguh juga (pemilihan Umno). Saya tangguh pasal takut bergoncang dalaman, masalah dan perpecahan,” katanya kepada  pemberita ketika melawat Ukir Mall yang menempatkan peniaga Pekan Rabu, di sini.

 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk menangguhkan pemilihannya bagi  memberi peluang kepada parti untuk berkhidmat kepada rakyat dan mengukuhkan perpaduannya.

 

Beliau yang juga Presiden Umno berkata, penangguhan itu dibuat mengikut Fasal 10.16 perlembagaan parti yang memberi hak kepada MT untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan.

 

Mengenai lawatannya di Ukir Mall hari ini, beliau yang ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali dalam lawatan itu berkata, bilangan peniaga di kompleks membeli-belah yang terletak di tengah-tengah pusat bandar raya Alor Setar semakin ramai.

 

Kompleks itu merupakan penempatan sementara bagi peniaga di Pekan Rabu berikutan pembinaan semula pusat membeli-belah ikonik yang akan  mengambil masa selama dua tahun setengah.

 

“Apabila dia (peniaga) pindah ke sini (Ukir Mall) takut tidak ada orang, tetapi orang ramai jugak, lagi ramai,” katanya dan berharap, pihak berkuasa  akan membina bangunan yang lebih besar kerana bilangan peniaga yang semakin ramai.

 

Beliau juga memuji peniaga di Ukir Mall yang menjual produk berlainan dan tidak hanya tertumpu kepada barangan sama. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.