Nafi Halang Bekas Pengasuh Lawat Muhammad Firdaus

SEREMBAN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan menafikan mengeluarkan sebarang arahan tidak membenarkan mana-mana pihak melawat Muhammad Firdaus Dullah, 15, di Hospital Tuanku Ja’afar, di sini.

Pengarahnya, Abdullah Hanapi sebaliknya berkata, tindakan pegawainya tidak membenarkan bekas pengasuh remaja berkenaan, Norfitri Radius, 42, untuk menjaga Firdaus adalah selaras dengan keputusan hospital berkenaan yang tidak mahu sebarang gangguan terhadap proses pemulihan sedang dijalankan.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan bermakna JKM tidak membenarkan langsung bekas pengasuh itu melawat, cuma pihaknya menghadkan masa pelawat.

“Bekas pengasuhnya dibenarkan datang melawat Firdaus mengikut waktu pelawat seperti mana ditetapkan pihak hospital, bukannya tak boleh tengok langsung.

“Lagi pun kita berpendapat, walaupun tanpa kehadiran bekas pengasuhnya itu, Firdaus masih mampu memberi respons dengan baik, malah boleh sembuh dengan sendirinya hasil rawatan yang diterima daripada doktor dan pakar-pakar perubatan di sini.

“Memandangkan bekas pengasuhnya itu sudah lama tidak bersamanya lagi, kita percaya Firdaus mampu sembuh dengan sendiri walaupun tanpa kehadiran bekas pengasuhnya itu,” katanya di sini, semalam.

Abdullah berkata demikian merujuk kepada kenyataan Norfitri dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu yang mendakwa dia dihalang pegawai JKM untuk mendekati Muhammad Firdaus menyebabkan dia membuat keputusan pulang semula ke Gemencheh, Tampin.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tawaran Norfitri yang sedia menjaga Muhammad Firdaus, Abdullah berkata, JKM tidak sewenang-wenangnya boleh memberikan hak penjagaan kepada seseorang.

Sebaliknya, katanya, pihaknya perlu melalui proses perintah mahkamah, sama ada membenarkan seseorang itu diserahkan kepada pihak ketiga ataupun menetap di institusi di bawah seliaan JKM.

“Lebih-lebih lagi Norfitri adalah orang luar dan tiada kena mengena dengan Firdaus. Jadi hak penjagaan itu tidak boleh diberikan dengan mudah kepadanya. Apa pun, kita perlu tunggu keputusan mahkamah, sama ada akan bagi kepada waris terdekat sekiranya ada atau pun ditempatkan kepada institusi JKM,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/nafi-halang-bekas-pengasuh-lawat-muhammad-firdaus-1.294029

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.