CYBERJAYA – Usaha ke arah pembentukan rasmi Majlis Media Malaysia (MMM) kini sedang giat digerakkan dan pengumuman mengenainya dijangka dibuat menjelang sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 pada 14 Jun ini.
Memetik laporan BERNAMA, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata proses tersebut akan dimulakan selepas Rang Undang-Undang (RUU) MMM yang telah diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta diwartakan secara rasmi.
“Kita jangka dalam masa beberapa minggu ini, kita akan dapat menggerakkan usaha ke arah pembentukan rasmi MMM,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi.
Tambah beliau, proses ini turut melibatkan aspek pentadbiran dan kewangan yang memerlukan kelulusan daripada Kementerian Kewangan. Fahmi optimis bahawa perkembangan positif akan dapat dikongsi menjelang HAWANA.
Penubuhan MMM dijangka memainkan peranan sebagai badan kawal selia kendiri dalam industri media, yang akan melindungi kebebasan media, memastikan pematuhan terhadap etika kewartawanan, serta memperkasakan ekosistem media di negara ini.
Dalam ucapannya, Fahmi turut menegaskan bahawa HAWANA 2025 bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya sebuah platform penting untuk memperkukuh profesionalisme dan kebebasan bersuara yang bertanggungjawab dalam kalangan pengamal media.
Majlis kemuncak sambutan HAWANA akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan kehadiran lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Antara acara yang dijadualkan sepanjang HAWANA 2025 termasuk:
• Pesta Pantun pada 31 Mei
• Majlis Prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun
• Forum Media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun