KUALA LUMPUR, – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilaporkan sedang dalam proses untuk kembali menyertai UMNO selepas lebih dua tahun dipecat dari parti itu.
SuaraTV difahamkan usaha membawa pulang Khairy ke dalam UMNO bermula selepas pemergian bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tun Abdullah bukan sahaja bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO tetapi juga merupakan pemimpin yang bertanggung jawab membawa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kembali ke elit politik selepas tersingkir dalam era awal reformasi.
Sejak beberapa minggu lepas dikatakan telah ada perbincangan antara pegawai kedua-dua pemimpin tersebut setelah mendapat isyarat positif dari Ahmad Zahid.
Khairy sebelum ini dipecat pada Januari 2023 atas dakwaan pelanggaran disiplin ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memburukkan Presiden parti.
Dalam kempen PRU15, Khairy bertanding di Parlimen Sungai Buloh sebuah kerusi yang dianggap sukar namun berjaya mengejutkan ramai apabila memperoleh 48,250 undi dan hanya tewas tipis kepada calon PKR, R. Ramanan, dengan majoriti sekitar 2,700 undi.
Prestasi cemerlang beliau di kawasan tradisi pembangkang itu mengangkat semula namanya sebagai antara tokoh politik muda paling berpengaruh dan relevan, walaupun tanpa jentera parti sepenuhnya di belakangnya.
Menurut sumber permohonan kemasukan semula Khairy dibuat melalui UMNO Bahagian Sungai Buloh
“UMNO perlu tokoh seperti KJ. Beliau sudah buktikan kemampuannya dalam PRU lalu walaupun bukan di kubu kuat kita. Semangatnya untuk lawan tetap ada,” kata seorang pemimpin UMNO tempatan.
Pengumuman rasmi dijangka akan dibuat selewat-lewatnya bulan hadapan, selepas rundingan dimuktamadkan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.
Kembalinya Khairy dijangka memberi kesan besar kepada strategi masa depan UMNO, khususnya dalam menarik kembali sokongan pengundi muda, profesional bandar dan mereka yang kecewa dengan arah tuju politik nasional pasca PRU15.-SuaraTV