Irma Hasmie Sertai misi Kemanusiaan

DEMI keluarga tercinta, pelakon dan pengacara, Irma Hasmie Ibrahim mengambil keputusan memperlahankan kerjaya seninya.

Pun begitu, bakat seni selebriti berusia 35 tahun ini tidak sesekali dipersiakan.

Buktinya, biarpun tidak lagi berlakon, ibu kepada dua cahaya mata ini terus aktif sebagai pengacara dan kini kekal mengacarakan rancangan bual bicara, Assalammualaikum di TV AlHijrah.
Irma juga selesa berada di sana sejak menyertai stesen TV berkenaan pada 2011.

Mengakui rindu untuk kembali berlakon tetapi bintang filem Main-Main Cinta ini enggan terikat dengan jadual yang padat selain terpaksa berjauhan dengan keluarga.

“Saya masih terima tawaran tapi terpaksa tolak sebab jadual produksi yang padat. Lagipun sukar nak beri tumpuan. Saya pun tak nak menyusahkan sesiapa sebab berniaga dan ada sertai misi kemanusiaan,” katanya kepada Media Hiburan.

Ikon Ukhwah for Ummah

Kesibukan sebagai isteri dan ibu tidak menghalang Irma menyertai pelbagai misi kemanusiaan.

Terbaru, isteri Redza Syah Azmeer Mohd Redzuan ini terlibat di dalam kempen A Tile For Seville kelolaan Ukhwah For Ummah (U4U) bersama Fundacion Mezquita De Sevilla, Spain.

Irma bersama enam selebriti lain dari tiga negara serumpun iaitu Farah Asyikin dan Faizal Tahir dari Malaysia, Elfaeza Ul Haq (Singapura) dan Dewi Sandra serta Oki Setiana Dewi (Indonesia) dipilih sebagai ikon kemanusiaan kempen itu.
Katanya, kempen A Tile For Seville bertujuan mengutip dana pembinaan masjid yang juga sebagai pusat komuniti dan kebudayaan Islam di Seville, Sepanyol.

Secara keseluruhan, katanya, jumlah dana yang diperlukan lebih 16 juta Euro (RM76 juta).

Irma terharu dilantik ikon bagi kempen itu yang akan diteruskan selepas mendapat respons positif di seluruh dunia.

“Sebagai melanjutkan kempen, U4U memilih tujuh ikon baru dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia dengan tagline 3 Nations, 7 Icons, 1 Mission.

“Insya-ALLAH, saya dan barisan ikon lain akan berusaha lebih lagi demi membantu mencari dana,” katanya.

Sebagai ikon, Irma berpeluang ke Seville, Mac lalu untuk melihat sendiri keadaannya.

Menurutnya umat Islam di sana lebih 25,000 dan mereka hanya menyewa rumah kedai untuk dijadikan surau. Tambah Irma, penduduk juga perlu berbelanja besar untuk menghantar anak mereka ke luar negara bertujuan belajar agama kerana tempat yang terhad dan tiada kemudahan yang sepatutnya.

Katanya, masjid hanya boleh digunakan untuk solat fardu sahaja.

Jelasnya lagi, peluang menjejakkan kaki ke sana adalah satu pengalaman baru dan memberi kefahaman mengenai tujuan utama pembinaan masjid itu.

Anaqeen for Hasmie

Terkini, artis ini berkolaborasi dengan jenama tudung bawal terkemuka, Anaqeen melalui pelancaran 12 koleksi terbarunya di bawah label, Anaqeen for Hasmie dan akan mula berada di pasaran Ramadan nanti.

Tambahnya, melalui usaha sama itu, sebahagian jualan akan disalurkan kepada kempen A Tile For Seville bagi mengurangkan beban yang dipikul selain mahu berkongsi pahala.

Katanya, rekaan koleksi itu inspirasi daripada perjalanan dan pengalamannya ke Sepanyol.

“Ini adalah idea pertama saya sejak pulang dari Seville. Ini juga adalah usaha kecil saya untuk mencari dana.
“Walaupun ia berlaku dalam tempoh yang singkat, saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan ALLAH SWT dan sebenarnya saya seronok dapat berkongsi pahala dengan semua orang,” katanya.

Selain itu, Irma turut dilantik sebagai ikon kemanusiaan Islamic Relief Malaysia (IRM).

“Kini, IRM sedang menggerakkan kempen bagi mengumpulkan minyak masak untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negara sempena ketibaan Ramadan,” katanya menutup bicara.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.