Suspek Aksi Seks Dipercayai Lari Balik Ke Negara Asal

Kuala Lumpur – Suspek lelaki yang terlibat dalam rakaman video seks di balkoni sebuah kondominium di Bangsar dipercayai telah pulang ke negara asalnya.

 

Sebelum ini, polis berkata suspek masih lagi berada dalam negara dan hari ini, Ketua Polis Daerah Brickfields, ASP Muhammad Azlee berkata, pihaknya sedang mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu dengan negara terbabit.

 

“Saya tidak boleh mendedahkan negara mana. Suspek telah dikenal pasti, namun masih belum mendapatkan butiran daripada pihak kedutaan atau negara berkenaan sama ada suspek telah pulang atau sebaliknya.

 

“Setakat ini, rekod kami menunjukkan kemungkinan besar suspek telah kembali ke negara asal,” katanya kepada The Rakyat Post ketika ditemui pada satu program di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

 

Muhammad Azlee berkata, polis kini sedang mencuba sedaya upaya untuk mengambil tindakan terbaik sambil menambah, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya suspek telah pulang ke ke negara asalnya.

 

Berhubung pasangan wanita suspek pula, setakat ini katanya polis masih belum mendapat apa-apa butiran mengenainya.

 

“Kita perlu mendapatkan butiran daripada suspek lelaki berkenaan perkara itu,” katanya.

 

Ditanya mengenai individu yang merakam video aksi seks berkenaan, Muhammad Azlee berkata tiada sebarang isu yang timbul dan enggan mengulas lanjut.

 

Azlee sebelum ini berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 377D, 297 dan 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.