Pemilihan PAS: DAP Mahu Angkat Calon ‘Yes Man’ – Zuhdi

Shah Alam – DAP sedang berusaha untuk menyingkirkan pemimpin tertentu dalam PAS yang dilihat sebagai penghalang kepada agenda Pakatan Rakyat (PR), kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

 

Mohd Zuhdi berkata, DAP akan menggunakan pemilihan parti Islam itu yang akan berlangsung minggu depan bagi merealisasikan hasrat mereka menaikkan pemimpin ‘yes man’ yang mesra DAP.

 

“Jelas, DAP sedang berusaha untuk menyingkirkan pimpinan-pimpinan PAS yang berani berkata ‘tidak’ atau ‘no’ kepada DAP.

 

“Untuk menyingkirkan jaluran pimpinan PAS yang tegas seperti ini, DAP melakukan serangan habis-habisan terhadap Presiden PAS yang sebelum ini tidak tunduk kepada desakan DAP dalam mesyuarat Pakatan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau juga tidak menolak bahawa pertandingan bagi jawatan Presiden yang menyaksikan pertembungan dua penjuru itu adalah bagi menaikkan seseorang yang boleh memenuhi hasrat DAP.

 

“Muktamar PAS dilihat peluang keemasan untuk menaikkan pimpinan PAS yang dapat memenuhi kehendak DAP atau dengan perkataan lain di kalangan pemimpin ‘yes man’.

 

“Pencabar kepada Presiden PAS sekarang, ustaz Ahmad Awang sememangnya dikenali sebagai seorang yang lunak terhadap desakan DAP,” katanya lagi.

 

DAP pada masa kini galak melancarkan ‘serangan’ terhadap PAS khususnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kerana mendakwa ulama itu cuba mengkhianti PR apabila cenderung bersama Umno.

 

Malah Hadi juga dituduh masih berhasrat untuk membentuk kerajaan perpaduan (UG) dengan Umno.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.