Jumlah Perokok Muda Meningkat Di Thailand

Bangkok – Penggunaan produk tembakau dan alkohol terus meningkat di Thailand, dengan jumlah perokok muda semakin bertambah.

 

Menurut laporan Pejabat Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDB), perbelanjaan untuk membeli rokok meningkat 2.5 peratus kepada 15.693 bilion baht.

 

Timbalan setiausaha agung NESDB Chutinart Wongsuban berkata berikutan perkembangan itu, pemantauan rapi perlu dilakukan terhadap akses belia kepada rokok kerana penyelidikan menunjukkan purata usia mereka yang mula merokok menurun kepada 15.6 tahun pada 2014 daripada 16.8 tahun pada 2007.

 

Ini mencerminkan tiadanya penguatkuasaan undang-undang sedangkan Thailand melarang penjualan rokok kepada mereka yang berusia bawah 18 tahun sejak 20 tahun lepas, kata laporan itu.

 

Menurut laporan itu, peniaga memancing golongan belia yang kurang kuasa membeli dengan menawarkan penjualan rokok dalam kuantiti kecil.

 

Ketika ini, 97 negara mengenakan larangan penjualan rokok dalam kuantiti kecil, termasuk Laos, Myanmar, Malaysia, Singapura dan Brunei.

 

Mengenai alkohol, rakyat Thailand membelanjakan 38.19 bilion baht untuk produk itu pada suku pertama tahun ini, meningkat 10.4 peratus daripada tempoh sama tahun lepas. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.