168 Buah Rumah Kekal Mangsa Banjir Diserah Julai Ini

KUALA LUMPUR – Sebanyak 168 daripada 261 unit Rumah Kekal Baharu (RKB) fasa pertama daripada 1,255 unit rumah yang perlu dibina oleh kerajaan persekutuan untuk mangsa banjir di Kelantan dapat diserahkan sebelum sambutan Aidilfitri.

 

Sementara tujuh unit telah pun siap sepenuh, menurut kenyataan Unit Pemulihan Pasca Banjir (UPPB), Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Selasa.

 

“Dalam usaha mempercepatkan tempoh pembinaan Rumah Kekal Baharu itu,kerajaan persekutuan telah mengenal pasti kaedah pembinaan berasaskanIndustrialised Building System (IBS) dan Modular.

 

“Kaedah itu dapat mempercepat tempoh siap pembinaan kepada 30 hari berbanding 75 hari, jika dilaksanakan secara konvensional,” menurut kenyataan itu.

 

Kenyataan UPPB JPM itu adalah bagi menjelaskan dakwaan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke yang mendakwa parti itu telah berjaya membina lebih banyak rumah untuk diberikan kepada mangsa banjir di Kelantan berbanding kerajaan persekutuan.

 

Anthony Loke yang dipetik oleh portal berita Malaysian insider pada Isnin mendakwa Putrajaya hanya mampu membina lima buah rumah untuk diberikan kepada mangsa banjir di Kelantan sebelum Ramadan, berbanding 22 buah rumah yang dibina di bawah projek Impian Kelantan oleh parti itu bersama badan bukan kerajaan yang dijangka dapat diserahkan kepada pemilik pada 11 Jun ini.

 

UPPB JPM turut menyangkal dakwaan Anthony Loke bahawa kerajaan Persekutuan hanya mampu menyerahkan rumah-rumah tersebut pada Ramadan tahun depan dan bukan tahun ini.

 

“Usaha ini dijangka dapat menyangkal dakwaan yang mengatakan bahawa mangsa banjir hanya boleh mendapatkan rumah mereka pada Ramadan tahun hadapan (2016),”menurut kenyataan itu.

 

Menurut UPPB JPM, kerajaan Persekutuan tetap komited dalam menunaikan janji bagi membina sebanyak 1,255 unit RKB dan membaik pulih sebanyak 1,209 unit rumah untuk mangsa banjir di negeri itu.

 

“Walaupun ada beberapa kekangan dalam pelaksanaan itu antaranya kerana tiada tanah bagi menempatkan seramai 580 mangsa dan status hak milik tanah yang diragui iaitu melibatkan seramai 407 mangsa namun, kerajaan yakin ia dapat diselesaikan segera dengan kerjasama kerajaan Negeri,” menurut kenyataan itu. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.