Zahid Hamidi:Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah Contoh Pengorbanan Polis

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kejadian menimpa Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, yang maut dirempuh kenderaan suspek samun di Selama, adalah contoh pengorbanan dan manifestasi keprihatinan polis demi menjaga keselamatan orang ramai.
    
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghargai jasa Allahyarham dalam membanteras jenayah sehingga tergadai nyawa.
    
“Kita mahu masyarakat tahu bahawa tugas polis terus untuk membanteras jenayah dan ia adalah satu pengorbanan yang menggadaikan nyawa,” katanya kepada pemberita selepas menziarah jenazah Mohd Azuan di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun semalam.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata masyarakat dan pejuang hak asasi manusia perlu prihatin bahawa pengorbanan yang dilakukan PDRM dalam membanteras jenayah tiada akhirnya.
    10341766_880209735327895_4203036172510811745_n
Turut hadir Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Kerian
Superintenden Mat Fauzi Nayan.

Dalam kejadian pukul 1.15 petang, Mohd Azuan bersama anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian maut manakala rakan setugasnya cedera parah dirempuh kereta dinaiki penjenayah, yang terlibat dalam satu kes samun, di Batu 10 menghala Alor Pongsu dekat Parit Buntar.
    
Ahmad Zahid berkata jenazah Allahyarham dibawa pulang kampungnya di Kulai, Johor.
    
Mengulas insiden kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish ditemui terbakar di kawasan kebun pisang antara Lunas dan Ara Kuda di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.
    
“Siasatan akan terus dijalankan dan operasional serta maklumat akan dimaklumkan oleh ketua polis negeri atau pegawai lain yang bertanggungjawab,” katanya.
    
Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham yang diwakili Mat Fauzi.

Allahyarham dijadual berkahwin esok

Di KULAIJAYA, Johor, Abdullah Mahmood, 49, berkata anaknya itu amat meminati kerjaya polis sejak kecil dan sentiasa bersemangat ketika bertugas.
    
Beliau berkata Mohd Azuan, 25, sering menceritakan pengalaman pahit dan manis kerjayanya sebaik tamat menjalani latihan sehinggalah ditugaskan di Balai Polis Batu Kurau.
    
“Dia ada cakap dengan saya kerjanya sepanjang lima tahun ini kadangkala seronok dan kadangkala sedih tetapi sebagai bapa, saya sentiasa menasihatinya supaya bekerja bersungguh-sungguh dan berhati-hati dalam tugasan yang dilakukan,” kata beliau kepada pemberita di rumahnya di Taman Scientex.
    
Abdullah, yang masih terkejut dengan kejadian itu, berkata kali terakhir  beliau berbual dengan anak ketiganya itu ialah menerusi telefon pada 16 Mei lepas.
    
Katanya, selain berkomunikasi menerusi telefon, beliau sentiasa mengikuti perkembangan harian Mohd Azuan menerusi laman sosial Facebook.
    
Abdullah berkata beliau dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Mohd Azuan oleh anak perempuannya sebelum menerima maklumat sahih daripada PDRM dan rakan Allahyarham.
    
Katanya, semalam merupakan hari terakhir Mohd Azuan bekerja sebelum bercuti untuk majlis pernikahan 28 Mei ini dan majlis resepsi pada 1 Jun.
    
“Mengikut rancangan, Mohd Azuan tidak pulang ke Johor dan terus menunggu rombongan kami yang akan tiba di Kedah dengan menaiki bas untuk majlis perkahwinan itu,” katanya sambil menambah majlis sambut menantu di Johor dirancang diadakan selepas Aidilfitri.
    
Abdullah berkata beliau redha dengan kejadian itu dan berharap pihak polis segera menahan suspek yang terlibat serta membawa mereka ke muka pengadilan.
    
Beliau berkata jenazah Mohd Azuan dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Batu 22, Kulaijaya, esok.pdrm korban jenayah

Sementara itu, kereta Toyota Wish dipercayai milik penyamun yang merempuh dua anggota polis di Batu 10 menghala Alor Pongsu, di Perak ditemui terbakar dalam kebun pisang di Ara Kuda di Tasek Gelugor semalam.
    
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata kereta berwarna kelabu itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan pada kira-kira 5.30 petang.
    
“Kami mendapat maklumat daripada polis Kedah memaklumkan sebuah kereta yang dipercayai milik kumpulan penyamun terbabit masuk ke kawasan SPU dan pasukan polis menjalankan Ops Tutup.
    
“Kira-Kira pukul 5.30 petang, polis dapat panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan sebuah kereta jenis Toyota Wish sedang terbakar dalam sebuah kebun.
    
“Nombor pendaftaran kenderaan itu ditanggalkan,” katanya.

Abdul Rahman berkata usaha mengesan pemilik kereta itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.  
    
“Kami minta orang ramai atau saksi yang melihat bagaimana kereta itu berada di kawasan berkenaan dan terbakar supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan.
    
– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.