Umat Islam Boleh Saman Syarikat Coklat

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan umat Islam yang mempunyai bukti serta berasa tertipu dengan syarikat pengeluar coklat Cadbury boleh mengemukakan saman menuntut gantirugi, kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
    
Beliau berkata Jakim disaran mengambil tindakan tegas terhadap Cadbury Confectionery (M) Sdn Bhd susulan penemuan DNA khinzir dalam dua produknya selain meminta syarikat itu memohon maaf secara terbuka dengan beberapa syarat lain.
    
“Saya menyarankan Jakim mengambil tindakan tegas terhadap syarikat pengeluar yang telah memberi salah representasi mengenai isu halal,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
    
Katanya, Jakim perlu tegas untuk memberi pengajaran kepada syarikat terbabit dan semua pengeluar produk makanan supaya lebih sensitif dalam isu halal haram terutama bagi umat Islam.
     
Dua sampel coklat keluaran syarikat itu yang dilapor mengandungi DNA khinzir ialah Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813 M01H12) dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013 N01RI1).

Dalam pada itu, Jakim berkata keputusan rasmi berhubung status halal berikutan penemuan DNA khinzir dalam dua sampel coklat Cadbury itu akan diumum sebaik keputusan analisis Jabatan Kimia diperoleh dalam tempoh tujuh hari.
    
Mengulas isu sama, Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berkata ia akan bekerjasama dengan Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) untuk menyediakan khidmat guaman kepada masyarakat Islam bagi menyaman syarikat itu.

– Bernama

 
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.