Sembunyi Dalam Lumpur Setelah Dikejar Polis

SEORANG lelaki sanggup bersembunyi tempat berlumpur di bahagian bawah sebuah rumah di Jalan Oya 13, Sibu ketika dikejar oleh sepasukan polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB), awal pagi kelmarin.

Tindakan suspek, 20-an, hampir menyebabkan nyawanya tergadai apabila dia ditemui dalam keadaan sangat lemah dan cedera kaki kirinya oleh URB yang terpaksa menghubungi ambulans untuk membawanya ke Hospital Sibu.

Sebelum insiden tersebut, URB dianggotai Inspektor Fauzi terserempak dengan suspek bersama seorang rakannya menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Kris dalam keadaan mencurigakan di Jalan Pedada.

Menyedari kehadiran polis, dua suspek cuba memecut lari sehingga hampir merempuh dua anggota URB.

Namun, salah seorang suspek berumur awal 20-an berjaya ditahan, manakala seorang lagi lolos.

Usaha menjejaki suspek kedua diteruskan sehingga suspek didapati bersembunyi di bahagian bawah sebuah rumah yang berlumpur.

Suspek yang didapati berada dalam keadaan sangat lemah dan cedera di bahagian kaki kirinya kemudian ditahan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Rakan suspek yang ditahan terus dibawa ke Balai Polis Sentral untuk tindakan lanjut.

Polis juga merampas sebuah motosikal, buku lima berwarna perak, sebuah beg sandang dan sebilah pisau lipat.

Kedua-dua suspek dijangka disiasat mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (1958) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.-The Borneo Post

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.