PAS Tidak Patut Jadikan Hudud Sebagai Komoditi Dan Modal Politik – Ahmad Maslan

Teluk Intan – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmd Maslan menyifatkan PAS hanya menjadikan hudud sebagai komoditi dan modal politik parti itu semata-mata.

Menurutnya PAS seharusnya berani bercakap perkara yang sama di semua tempat dan bukannya menggunakan isu hudud hanya untuk menarik undi di kalangan masyarakat Melayu semata-mata.

“Itu menunjukkan beliau (Hadi) hanya menjadikan hudud itu sebagai komoditi dan modal politik kepada PAS.

“Sepatutnya beliau berani membuat kenyataan yang sama di semua tempat, mereka tidak sepatutnya menggunakan hukum Allah dengan sedemikian rupa” katanya kepada wartawan Suara.TV sebentar tadi.

Beliau mengulas tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang enggan memberikan sebarang komen berkaitan kenyataan calon DAP, Dyana Sofea Mohd Daud yang secara terbuka menolak cadangan parti untuk melaksanakan hudud.

Hadi sebelum ini, yang ditemui di majlis ceramah dan minum petang bersama Presiden PAS di Taman Ceciley enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut sambil menyifatkan ia bukan satu isu.

Menurut Ahmad Maslan lagi, PAS sepatutnya berani untuk bersuara lantang terhadap calon yang secara jelas menolak cadangan parti itu untuk melaksanakan Hudud di Kelantan.

“Ternyata hudud hanyalah sandiwara politik PAS dan akhirnya rakyat akan sedar sandiwara mereka ini kerana (dengan perkembangan teknologi semasa) tiada lagi perkara yang dapat disembunyikan dari pengetahuan rakyat” ujarnya lagi.

Seterusnya ahli agama, ustaz Dr Fathul Bari menjelaskan kenyataan Hadi itu bercanggah dengan realiti semasa.

“Saya kira dakwaan Tuan Guru yang mengatakan tiada isu berkaitan dengan hudud, adalah merupakan kenyataan yang bercanggah dengan realiti yang berlaku dan pada saya ini merupakan satu isu yang PAS perlu berikan satu penjelasan” ujarnya ketika ditemui.

Beliau yang juga merupakan Exco Pemuda UMNO Malaysia berkata para pemimpin UMNO sebelum ini telah disesatkan malah ada di kalangan mereka yang turut dikafirkan kerana mengatakan hudud belum sesuai untuk dilaksanakan.

“Pas perlu berikan pendirian yang jelas berhubung isu ini” ujarnya lagi.

Terdahulu ahli parlimen Pontian itu berucap di hadapan kira-kira 1,000 orang pengundi di Taman Melor di dalam satu program pemimpin bersama rakyat.

Turut hadir di dalam majlis tersebut calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.