Video : Misi Greenland, Bangga Dengan Semangat Kental Anak Muda – Mukhriz

Teluk Intan – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan kejayaan kumpulan anak muda Malaysia yang berjaya menawan dan menamatkan misi menjelajah pulau terbesar di dunia yang 80 peratus permukaannya diliputi ais, Greenland semalam sebagai satu pencapaian yang membanggakan.

Beliau yang ditemui ketika program ‘Santai Bersama Pengundi’ di pusat daerah mengundi (PDM) Pekan baru mengharapkan agar lebih ramai anak muda akan mencontohi teladan yang luar biasa ini 

“Saya tumpang gembira dan bangga dengan keupayaan anak muda kita (dalam misi) merentasi suatu kawasan yang persekitaran dan cuacanya yang begitu payah.

“Ini menunjukkan semangat kental anak muda Malaysia yang begitu tinggi dan sanggup mengharunggi cabaran sebegitu rupa, sehingga kalau tersilap langkah boleh mengadai nyawa sendiri” katanya ketika ditemui oleh wartawan Suara.TV sebentar tadi.

Beliau turut mengharapkan dengan kejayaan ini, akan mampu memberikan dorongan dan semangat kepada anak muda dalam melahirkan mereka yang berani menempuh dugaan dan cabaran. 

“Saya harap lebih ramai anak muda yang akan mencontohi teladan baik yang mereka tunjukkan (dalam) menghadapi cabaran yang begitu luar biasa ini” ujarnya lagi.

Lapan penjelajah Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) Felda Greenland 2014 melakar satu lagi sejarah buat negara apabila berjaya menamatkan misi menjelajah pulau terbesar di dunia yang 80 peratus permukaannya diliputi ais, Greenland semalam.

Kelapan-lapan penjelajah itu iaitu Yanizam Mohamad Supiah, 29; Muhamad Shaiful Hisyam Abd. Aziz, 25; Abdul Rahman Abu Hassan, 31; Tahira Naj­munisaa Muhammad Zaid, 25; Mohd. Akasyah Jamaludin, 25; Muhammad Irwan Yusuf Abdullah, 34; Muhammad Musaddiq Samsudin, 25, dan Muhd. Hafizuddin Abdul Muthalib, 25, tiba di lokasi terakhir, Hill 660, Kangerlusuaq pada pukul 9.30 malam, kelmarin waktu tempatan atau pukul 7.30 pagi semalam waktu Malaysia.

Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, kesemua penjelajah tiba dalam keadaan selamat walaupun sebelum ini mereka dilaporkan mengalami masalah kesihatan seperti batuk berdarah selain terpaksa berdepan dengan beberapa cabaran lain yang hampir menggugat ekspedisi tersebut.

“Saya bersyukur dan berbangga kerana kelapan-lapan penjelajah tersebut dengan hasil usaha gigih dan semangat cekal mereka akhirnya berjaya menamatkan ekspedisi mengikut perancangan.

“Mereka kini berada di Kangerlusuaq sehingga 30 Mei ini dan akan terbang ke Nuuk sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada 2 Jun dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur Antarabangsa (KLIA) pada pukul 8 pagi keesokan harinya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Menurut Muhamad Muqharabbin, perkembangan ekspedisi itu disampaikan sendiri oleh ketua penjelajah, Yanizam melalui aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Penasihat Ekspedisi, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, kejayaan itu membuktikan Malaysia tidak pernah kekurangan anak muda yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai ikon baharu bagi menyemarakkan semangat generasi muda lain dalam melakukan aktiviti yang boleh mengharumkan nama negara.

“Kejayaan ekspedisi ini adalah satu lagi kejayaan manis buat negara lebih-lebih lagi kepada KE7B. Tahniah saya ucapkan kepada lapan penjelajah kita yang berjaya menggalas tanggungjawab mereka dalam menyempurnakan misi sukar ini,” katanya.

Para penjelajah yang diiringi dua jurupandu arah, Maxime Poncet dan Jon Gauti memulakan ekspedisi pada 28 April lalu dari Hahn Glacier, Ammasalik sebelum mengharungi perjalanan sejauh 540 kilometer selama 27 hari dengan berjalan kaki dan menggunakan ski sambil mengheret ‘sledge’.

Kejayaan mereka termasuk sepasang suami isteri iaitu Abdul Rahman dan Tahira Najmunisaa bakal dimuatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai kumpulan pertama dari negara ini dan Asia Tenggara yang menjelajah Greenland.

Ekspedisi tersebut mendapat sokongan daripada Felda selaku penaja utama yang sebelum ini turut menaja projek Everest-Felda 2013 selain kerajaan negeri Kedah dan RHB Bank.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.