Mendung, Gerimis Iringi Pengebumian Lans Koperal Mohd Azuan

KULAIJAYA: Jenazah Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah yang maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah kereta dinaiki penjenayah di Batu 10, Parit Buntar, Perak semalam, selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Batu 23, di sini, Selasa.

Suasana mendung dan gerimis mengiringi pengebumian jenazah yang sebelum itu disembahyangkan di Masjid Kampung Rahmat.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim antara lebih 100 orang, termasuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir mengiringi jenazah ke tanah perkuburan itu.

Dalam insiden 1.15 tengah hari Isnin, Mohd Azuan, 25, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, maut di tempat kejadian, manakala rakan setugas cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh kereta penjenayah.

Kejadian berlaku ketika kedua-duanya dilapor sedang mengejar sebuah kereta yang dinaiki suspek dalam kes samun.

Sementara itu, Ismail yang ditemui pemberita kemudian menyifatkan kematian Mohd Azuan sebagai satu kehilangan besar kepada warga PDRM kerana Allahyarham merupakan anggota yang berdedikasi.

Beliau berkata polis kontinjen Johor akan mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham selain menyampaikan sumbangan kepada keluarganya di Taman Scientex, di sini, bagi meringankan beban mereka.

“Kita sedia maklum tugas pegawai dan anggota polis pada masa kini amat mencabar dan sehubungan itu saya juga ingin meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian terbabit tampil membantu polis,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.