ALOR SETAR, – Satu kluster penyakit berjangkit yang belum dikenal pasti puncanya telah dikesan melibatkan 39 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah di daerah Yan, Kedah, menurut pengesahan pihak berkuasa kesihatan negeri hari ini.
Menurut laporan The Star, para pegawai kesihatan telah diarah berwaspada terhadap pesakit yang menunjukkan gejala seperti selsema, demam, batuk, lepuh, muntah, cirit-birit, dan ruam merah, terutamanya mereka yang mempunyai kaitan dengan sebuah kem latihan swasta dikenali sebagai Kem Palas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria, berkata semua pegawai perubatan perlu segera melaporkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sekiranya berhadapan dengan kes-kes yang memaparkan gejala berkenaan.
Beliau memaklumkan, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menerima laporan pertama mengenai kluster ini pada 24 April lalu, melibatkan pelajar dan kakitangan sebuah sekolah menengah di daerah Kuala Muda.
Susulan itu, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda dan Yan menjalankan siasatan dan mendapati individu-individu yang terkesan telah menghadiri sebuah kem latihan di Yan.
Hasil siasatan menunjukkan, daripada 763 pelajar dan kakitangan yang terlibat, seramai 39 orang atau 5.11 peratus mengalami simptom demam, batuk dan ruam. Mereka yang terjejas, majoritinya pelajar berusia 14 tahun serta beberapa kakitangan, kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Mansor turut memaklumkan bahawa pemeriksaan dan penilaian risiko telah dijalankan di lokasi terlibat, selain beberapa langkah kawalan pencegahan telah dikuatkuasakan.
“Kita minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan panik dan mengganggu siasatan,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat untuk mengambil langkah pencegahan dan menjaga kebersihan kawasan kediaman serta tempat rekreasi bagi mengelakkan penularan sebarang penyakit berjangkit.