KUALA LUMPUR, – MCA menerima suntikan semangat baharu apabila kira-kira 200 anak muda menyertai parti itu dalam satu majlis khas di Wisma MCA hari ini.
Majlis berkenaan diadakan atas jemputan Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng, dan disaksikan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Menurut Wee, majoriti ahli baharu itu terdiri daripada graduan universiti, usahawan, dan profesional dari pelbagai bidang, sekali gus menjadi petanda positif terhadap usaha memperkukuhkan parti.
“Dalam ucapan saya, saya menekankan bahawa penambahan ahli muda ini merupakan rangsangan yang amat diperlukan untuk MCA. Kami amat mengalu-alukan lebih ramai bakat muda dengan kreativiti, kefasihan dan kecekapan pelbagai bahasa untuk menyuntik tenaga dan nafas segar dalam parti,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau turut menggesa kepimpinan parti di semua peringkat, terutama bahagian dan cawangan, agar lebih aktif mempromosikan penyertaan golongan muda dengan memberi peluang kepada mereka untuk menyinar dan menyumbang kepada parti, masyarakat, serta negara.
Tambahnya lagi, fenomena kemasukan ahli baharu ini bukan sahaja berlaku di Wilayah Persekutuan, malah turut melibatkan negeri-negeri lain, sekaligus menambah kekuatan dan semangat kepada MCA.