MANA tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Begitulah juga bakat seni nyanyian Datuk Jamal Abdillah, 63, yang kini diwarisi dua anak lelaki bujangnya, Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.
Begitu pun, yang pasti alunan vokal kedua-duanya saling tak tumpah seperti bapa mereka. Lenggok suara Osama mahu pun Zaki juga tiada beza umpama ‘salin dan tampal’ gaya nyanyian Jamal.
Ditanya mengenai dakwaan itu, Jamal yang gembira dan bersyukur bakat seni diwarisi anak-anak mengakui Osama dan Zaki sebenar mempunyai kelebihan nyanyian yang tersendiri.
“Cuma, saya dapati mereka amat sesuai dan serasi bergerak secara duo. Ini kerana, mereka mempunyai nada harmoni yang sedap didengar apabila berduet menyanyikan lagu. Identiti persembahan mereka lebih terserlah kalau berdua.
“Saya katakan begini kerana melihat persembahan mereka ketika beraksi dalam program Famili Duo di TV3 pada Februari lalu. Pada masa itu, peluang menyaksikan kemenangan mereka, memang buat saya gembira kerana persembahannya bagus,” katanya.
Mengulas juga mengenai komen juri yang selalu mengaitkan gaya persembahan Osama dan Zaki dikatakan ada persamaan sepertinya, Jamal berkata, apa yang dikritik itu ada betulnya dan dia menerima dengan positif.
“Saya pun tengok, sama ada Osama mahu pun Zaki kalau mereka menyanyi solo, gaya nyanyiannya macam tak ubah seperti saya. Biasalah, anak dan bapa. Sebab itu, saya lebih syorkan mereka jadi duo dan menyanyi duet.
“Dari situ, baru ada kelainannya dan mereka keluar daripada ‘bayangan’ saya. Apa pun, terserah kepada mereka bagaimana pilihan keputusannya dan saya akan terus menyokong,” katanya.
Menurut Jamal, sebagai bapa dia sentiasa ingin melihat Osama dan Zaki berjaya dalam bidang muzik dan nyanyian diceburi mereka. Katanya, dia akan terus mendoakan kejayaan buat anak-anaknya itu.
Turut berbicara karier nyanyiannya yang hingga kini banyak menerima undangan persembahan, Jamal berkata dia menganggapnya rezeki keluarga.
“Sebagai penyanyi sepenuh masa, saya amat menjaga kualiti kerja. Jadi, untuk itu saya akan sedaya-upaya pastikan memberi persembahan yang bagus. Saya mahu penonton terhibur dengan ‘show’ (persembahan) itu.
“Setakat ini, maklum balas yang diterima daripada penonton-penonton ‘show’ saya sangat baik. Saya amat berterima kasih dengan sokongan yang mereka berikan sejak dari dulu sampailah sekarang,” katanya.
Sempena Aidilfitri tahun ini Jamal muncul dengan lagu raya terbaharu berjudul, Rindu Di Hari Lebaran ciptaan S Atan dan lirik oleh Siso yang diterbitkan FMC Music.
Harian Metro