KUALA LUMPUR – Menggunakan kitaran aliran udara secara dalaman bagi sistem penghawa dingin kenderaan secara berterusan untuk tempoh pemanduan yang lama boleh mengakibatkan pemandu dan penumpang kenderaan mengalami kesan kekurangan oksigen.
Pakar Kimia dan pengamal keselamatan dan kesihatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ts ChM Dr Darfizzi Derawi berkata, kebanyakan pemilik kenderaan menggunakan kitaran aliran pengudaraan dalaman sepanjang masa pemanduan.
“Pemandu kebiasaannya menggunakan kitaran udara dalaman saja kerana tidak mahu udara dari luar terutamanya asap kenderaan lain masuk ke ruangan kabin kenderaan. Ada juga tidak faham dan cakna mengenai fungsi panel kitaran aliran udara dari luar dan dalam.
“Bagi pemanduan dalam jangka masa lama, ia akan menyebabkan kandungan oksigen dalam kabin kenderaan berkurangan. Ini kerana semua penumpang kenderaan bernafas menggunakan oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida.
“Kandungan oksigen mungkin boleh berkurang dan berlaku peningkatan karbon dioksida ke tahap pemandu dan penumpang kenderaan mula berasa mengantuk, penat serta tidak boleh berfikir dengan baik.
“Dari segi keselamatan dan kesihatan, kandungan oksigen untuk membolehkan manusia bernafas dan melakukan aktiviti secara normal adalah melebihi 20 peratus. Jika kandungan oksigen di bawah 19.5 peratus di sesuatu ruang, keadaan ini boleh mendatangkan kesan terhadap tubuh badan manusia seperti kekeliruan, kegelisahan, kesukaran bernafas, degupan jantung yang cepat dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kejadian empat sekeluarga pengsan di dalam kenderaan yang dinaiki dipercayai kekurangan oksigen dalam badan sebelum merempuh Plaza Tol Bentong pada 24 April lalu.
Kejadian berlaku jam 2.40 petang ketika mereka dalam perjalanan dari Tok Bali, Kelantan menuju ke Balakong di Selangor.
Mangsa lelaki, wanita dan dua kanak-kanak dikeluarkan dari kenderaan dan dirujuk kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.
Salah seorang anak mangsa menerusi komen di Facebook memaklumkan, ibu bapa dan dua adiknya itu pengsan kerana keracunan oksigen dari penghawa dingin kenderaan.
Mengulas lanjut, Timbalan Pengerusi Jabatan Kimia UKM itu tidak menolak kemungkinan kesemua mangsa berada dalam kenderaan untuk tempoh lama.
“Kejadian mungkin berpunca akibat menggunakan kitaran udara dalaman bagi sistem penyaman udara kenderaan dan memandu dalam masa lama menyumbang kepada berlakunya pengurangan oksigen dan peningkatan karbon dioksida dalam kabin kenderaan itu,” katanya.
Namun, kemungkinan kesemua mangsa pengsan akibat keracunan karbon monoksida atau kebocoran sistem ekzos adalah rendah kerana katanya, ketika kejadian kenderaan dalam keadaan bergerak.
Justeru, beliau menasihati pemandu supaya sentiasa menukar kitaran aliran udara kabin kenderaan kepada pengudaraan dari luar secara sementara ketika memandu dan perlu berhenti rehat setiap dua jam perjalanan bagi membolehkan udara dalam kabin kenderaan ditukar ganti dengan udara segar dari luar.
Kata beliau, badan manusia juga menjadi segar kembali selepas mendapatkan rehat secukupnya dengan menghirup oksigen dari luar. – HMetro