Hata Wahari Isytihar Keluar DAP, Bantah Pencalonan Cucu Komunis

Hata Wahari, bekas wartawan kanan Utusan Malaysia dan bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang masuk DAP pada 2012 mengumumkan keluar parti selepas nama Jamliah Jamaluddin sebagai calon DUN Bandar Utama.

“Saya adalah anggota DAP Damansara. Kemasukan saya di dalam parti itu diumumkan sendiri oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Namun kini saya menarik diri dari menyokong parti itu kerana sikapnya yang tidak menghargai sokongan orang Melayu yang menyokong DAP,”katanya dalam satu kenyataan terbuka.

Menurutnya, keputusan parti mencalonkan cucu bekas aktivis komunis itu mengesahkan DAP menyokong komunis yang membunuh askar-askar Melayu.

“Tindakan mengangkat Jamaliah Jamaludin, cucu Shamsiah Fakeh – seorang pejuang komunis yang mengangkat senjata membunuh dan memporak-perandakan orang Melayu – merupakan tindakan melampau.

“Bagaimana kami, orang Melayu boleh menerima DAP yang tidak langsung mengambil kira perasaan, kesengsaraan dan kesedihan kami memikirkan anggota keluarga dibunuh petualang komunis Melayu pada zaman darurat.”

Hata turut memetik kenyataan Shamsiah Fakeh yang mengaku masuk hutan dan tidak menyesal membunuh.

“Penjajah begitu takut dengan pejuang komunis yang hendak menggulingkan mereka. Dalam perang adil dan tak adil memang sukar dielakkan pertumpahan darah.

“Barang siapa yang berdiri di pihak penjajah dengan bersenjata sudah tentu akan dibalas, itu salah mereka kerana berdiri di pihak penjajah.” – Dari Awas ke Rejimen ke-10, muka surat 62.

Menurut Hata, seperti yang ditegaskan sejarawan terkemuka, Tan Sri Khoo Kay Kim, majoriti orang Melayu tidak boleh menerima komunis dan fahamannya.

Tambahnya, beliau mempunyai pengalaman sendiri mempunyai keluarga yang berfahaman komunis.

“Saya mempunyai ibu saudara yang merupakan anggota komunis Melayu, mengangkat senjata, membunuh anggota tentera Melayu yang mempertahankan negara.

“Sepanjang tempoh hidupnya tidak pernah menyesal malah berbangga berjaya membunuh tentera Melayu dan orang Melayu, katanya pembunuhan itu diwajibkan.

“Mereka belajar pembunuhan adalah wajib untuk mewujudkan negara komunis di negara ini. Malahan anak-anaknya terus juga memuja ibunya ketika dalam Komunis.

“Anak saudara saya kini juga mempunyai sikap seperti nenek dan bapanya yang terus memuja perjuangan komunis, tidak melihat kesalahan yang dilakukan oleh neneknya di zaman darurat membunuh orang Melayu sendiri.

“Pengalaman hidup keluarga kami ini, membuat saya tidak mempercayai bahawa Jamaliah, cucu Shamsiah Fakeh ini bukan seorang komunis.”

Hata turut memetik kenyataan allahyarham Sarjan Yusof Rono yang berkata akan sentiasa ada orang-orang seperti Mat Indera dan Shamsiah Fakeh di Malaysia, tokoh-tokoh komunis yang menyembunyikan identiti mereka.

“Katanya lagi, komunis belum mati kerana tali barutnya masih bergerak secara subversif dan bersembunyi, hanya menunggu masa untuk bangkit kembali memporak- perandakan negara.

“Kini DAP memberi peluang seorang komunis untuk bangkit dalam pimpinan negara, sesuatu yang tidak boleh diterima oleh orang Melayu, sesuatu yang perlu ditentang oleh orang Melayu.

“Orang-orang Melayu perlu menolak DAP dalam pilihan raya kali ini. Tidak ada perbuatan yang paling kurang ajar dilakukan oleh DAP kepada orang Melayu apabila mengangkat cucu seorang komunis Melayu dalam kepimpinan negara.” – AIDC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.