Jualan Album Fenomena Search Versi Piring Hitam Laris

Inisiatif untuk mencetak semula ke versi piring hitam yang diambil kumpulan lagenda rock popular tanah air, Search ternyata membuahkan hasil apabila penjualan album fenomena itu mendapat sambutan hangat daripada peminatnya.

Keputusan mencetak album itu dibuat berikutan jualannya mencecah lebih daripada 250,000 unit di negara ini termasuk lebih dua juta unit di Indonesia sewaktu dikeluarkan pada 1989.

Menurut vokalisnya, Amy, Search memilih Fenomena untuk dijadikan album pertama yang diterbitkan dalam bentuk piring hitam kerana ia memiliki nilai sentimental tersendiri buat kumpulan mereka.

“Jika diimbas kembali tentang sejarah Search pada awal pembabitan kami dalam industri, album Fenomena adalah pencetus kepada kejayaan dan populariti bukan sahaja di negara ini tetapi juga di Indonesia.

“Search memilih album Fenomena untuk diabadikan dalam bentuk piring hitam kerana ia begitu dekat dengan kami kerana ia menjadi perintis pengenalan muzik rock di Indonesia.

“Masih segar dalam ingatan, bagaimana kehadiran kami disambut oleh peminat di sana. Sangat luar biasa sehingga membuatkan album tersebut menjadi fenomena, sesuai dengan judulnya. Bukan hanya album, tetapi lagu Isabella yang terkandung di dalamnya turut memberi impak yang hebat termasuk filemnya mencatat kutipan pecah panggung di Malaysia dan Indonesia,” kata Amy, lapor Kosmo.

Impak

Tambah Amy, 59, kehadiran Fenomena di Indonesia pada waktu itu meninggalkan kesan mendalam apabila genre rock yang dibawa mereka telah mengubah aliran muzik di negara pulau tersebut yang didominasikan irama jazz, dangdut dan pop.

“Album ini sangat unik bukan sahaja untuk kami tetapi muzik dan lagu yang terkandung di dalamnya telah memberi impak yang besar kepada perubahan genre muzik di sana.

“Bayangkan, apabila kami muncul dengan album ini, ia terus mengubah landskap muzik kepada rock. Album ini terlalu manis untuk Search kerana ia membuka ruang kepada kehadiran banyak band rock di Indonesia seperti kumpulan Slank,” imbasnya.

Meskipun sedar situasi industri seni yang tidak begitu memberangsangkan pada ketika ini, Amy berkata, Search tetap mempunyai pendirian tersendiri apabila mengambil langkah mengeluarkan kembali album tersebut dalam bentuk piring hitam.

“Selama lebih tiga dekad dalam industri, album kami tidak pernah dikeluarkan dalam bentuk piring hitam. Idea untuk mengeluarkan album piring hitam muncul apabila melihat kepada permintaan pasaran yang rata-rata peminat sekarang kembali mencari album-album lama artis kesukaan mereka dalam bentuk piring hitam untuk tujuan koleksi.

“Piring hitam masih relevan dan sangat unik pada ketika ini kerana memiliki kelompok peminat tegar yang membelinya dan menjadikan ia sebagai koleksi. Jadi, ia adalah langkah yang baik untuk meneroka pasaran piring hitam,” ujarnya lagi.

Untuk pengeluaran pertama, album Fenomena dalam bentuk piring hitam yang menjalani proses cetakan di Amerika Syarikat itu dicetak sebanyak 500 unit.

“Jumlah 500 unit itu pun sudah ada ramai peminat yang membuat tempahan awal. Jadi, kami akan habiskan dahulu pengeluaran pertama dan akan mengeluarkan keluaran kedua mengikut permintaan peminat. Insya-Allah, kami juga ada perancangan untuk memasuki pasaran Indonesia,” katanya.

Album Fenomena dijual pada harga RM299 seunit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.