Hadi Saman Sarawak Report Isu Dana RM 90 Juta

ALOR SETAR — PAS memulakan tindakan undang-undang terhadap Sarawak Report yang mendakwa parti itu menerima RM90 juta daripada perdana menteri.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil tindakan terhadap editor portal itu Claire Rewcastle-Brown di mahkamah London pada 21 April lalu.

Dokumen saman itu ditunjukkan dalam sidang media setiausaha agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan di sini hari ini, lapor ProjekMMO.

Selain ganti rugi, yang tidak dinyatakan jumlahnya, Abdul Hadi juga memohon injunksi agar portal itu tidak mengulangi dakwaan itu lagi.

Tindakan undang-undang itu difailkan oleh firma Carter-Ruck, bagi pihak pemimpin PAS itu, selepas Rewcastle-Brown enggan menarik balik dan memohon maaf.

PAS juga melancarkan kutipan derma untuk menyaman portal itu, berpangkalan di London, yang mendakwa dana itu untuk memecahkan barisan pembangkang.

Timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengumumkan tabung itu di muktamar Pemuda PAS menyeru semua ahli menyumbang RM5 seorang.

Awal bulan ini, PAS menyatakan ia mempunyai 10 saksi di United Kingdom bagi memberi keterangan berhubung tindakan undang-undang itu.

Ia juga sedang mengumpul saksi di Malaysia susulan dakwaan PAS menerima dana itu daripada Datuk Seri Najib Razak.

Ogos lalu, portal kendalian Rewcastle-Brown, adik ipar bekas perdana menteri Britain Gordon Brown, menerbitkan artikel dengan dakwaan tersebut.

PAS dalam suratnya 13 Disember lalu menuntut Sarawak Report menarik balik artikel terbabit, memohon maaf dan tidak mengulangi tuduhan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.