AS Mungkin Tingkat Sekatan Terhadap Korea Utara

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkemungkinan mengetatkan sekatan ekonomi dan meneruskan langkah diplomatik, bertujuan memberi tekanan kepada Korea Utara agar menghentikan program nuklear dan peluru berpandu, kata pegawai tertinggi AS dalam satu kenyataan pada Rabu, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

“Tindakan Korea Utara meneruskan program senjata nuklear mereka satu ancaman keselamatan yang mendesak dan menjadi keutamaan dasar luar.

“Selepas mengambil alih jawatan, Presiden Trump mengarahkan kajian menyeluruh mengenai dasar AS yang berkaitan dengan Korea Utara,” kata Setiausaha Negara Rex Tillerson, Setiausaha Pertahanan James Mattis dan Pengarah Perisikan Kebangsaan Dan Coats dalam satu kenyataan bersama.
Tambah kenyataan itu, pendekatan presiden bertujuan memberi tekanan kepada Korea Utara selain akan meneruskan langkah diplomatik dengan sekutu kami dan rakan serantau.
Kenyataan bersama itu juga berpendapat usaha sebelum ini dilihat gagal menghentikan program senjata nuklear negara berkenaan dan setiap provokasi Korea Utara menjejaskan kestabilan di Timur Laut Asia serta ancaman semakin meningkat terhadap sekutu dan AS.

“Langkah meningkatkan tekanan kepada Korea Utara bertujuan meyakinkan rejim meredakan tindakan mereka dan kembali menyambung dialog.

“Kami akan mengekalkan hubungan rapat dan kerjasama dengan sekutu kami, terutamanya Korea Selatan dan Jepun,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, AS terbuka bagi mengadakan rundingan bagaimanapun tetap bersedia mempertahankan diri dan sekutunya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.