Program Transformasi Buahkan Hasil Cemerlang – PM

KUALA LUMPUR – Program Transformasi Nega­ra (NTP) yang dilaksanakan kerajaan sejak lima tahun la­lu melalui Program Transformasi Ke­rajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah membuahkan kejayaan cemerlang.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, meskipun berdepan dengan kemelut ekonomi global, GTP dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) telah mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) hampir sempurna iaitu 99 peratus.

 

Hal yang sama jelas beliau, berlaku dalam ETP apabila Bidang Ekonomi Utama Negara mencapai 111 peratus KPI, manakala Inisiatif Keberhasilan Utama Negara pula mencapai 99 peratus KPI penyampaiannya.

 

Katanya, pencapaian cemerlang itu bukan sekadar untuk menyedapkan halwa telinga tetapi boleh diukur menerusi lima petunjuk besar kejayaan NTP sehingga meletakkan ekonomi Malaysia pada trajektori yang tepat dan berdaya tahan.

 

“Pertamanya dari sudut Kelua­ran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Alhamdulillah, meskipun dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, Malaysia dengan perancangan rapi serta pemantauan berterusan mencatat pertumbuhan purata KDNK 5.6 peratus sejak 2010.

 

“Dengan kadar purata 5.6 peratus ini, ekonomi Malaysia dalam keadaan sihat. Ertinya hasrat kita untuk menjadi negara maju bukan sekadar impian tetapi dengan momentum yang ada, insya-Allah akan menjadi kenyataan,” katanya ketika membentangkan Laporan Tahunan NTP di Angkasapuri di sini malam tadi.

 

Menurut Najib, petunjuk sete­rusnya dalam mengukur kejayaan NTP ialah disiplin fiskal, yang dicapai hasil kebijaksanaan kerajaan mengendalikan hutang negara sehingga berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada serendah 3.2 peratus pada 2015.

 

Jelasnya, hasil disiplin fiskal yang baik, kos pinjaman negara ada­lah rendah, sekali gus merangsang keyakinan pasaran terhadap kedudukan kredit Malaysia untuk terus berada pada tahap yang tinggi.

 

“Petunjuk besar ketiga ialah Pendapatan Negara Kasar Perkapita, jumlah Pendapatan Negara Kasar Perkapita sekitar RM28,000 pada 2010 telah meningkat 30 peratus menjadi lebih RM35,000 pada tahun lalu,” katanya.

 

Najib yang juga Menteri Kewangan menambah, satu lagi pengukuran kepada kejayaan NPT ialah lebihan dagangan selama 220 bulan berturut-turut sejak November 1997, membuktikan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun hanya sebuah negara kecil.

 

Katanya, semua kejayaan tersebut dikukuhkan lagi dengan pengukuran hasil penarafan diterima Malaysia daripada badan serta agensi penarafan antarabangsa sejak 2010 yang menyaksikan ‘rating’ negara terus meningkat di mata dunia.

 

“Terbaharu, kita satu-satunya negara pasaran baharu yang tersenarai dalam 10 terbaik bagi Pembangunan Pasaran Kewangan Global. Kejayaan ini tidak boleh disangkal oleh sesiapa kerana telah dipersahih, diperaku dan diiktiraf oleh sekian banyak penaraf berwibawa,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.